Biar Anak Terbabit Basikal Lajak, 6 Penjaga Ditahan

KUALA LUMPUR – Polis menahan enam penjaga selepas disyaki membiarkan anak mereka terbabit dalam aktiviti basikal lajak di sekitar Taman Kosas, Ampang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Noor Azmi Yusoff berkata, enam individu berusia antara 37 hingga 52 tahun itu antaranya bekerja sebagai pengawal keselamatan, peniaga dan penyelia hotel.

“Kesemua mereka ditahan kerana membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan berpatutan dan disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis sejurus keterangan diambil.

Terdahulu, enam remaja lelaki berusia 11 hingga 16 tahun ditahan ketika menunggang basikal lajak di jalan raya kira-kira 8.51 malam dan dibawa ke Balai Polis Trafik Pandan Indah, Ampang untuk siasatan.

Noor Azmi berkata, dua daripada remaja berkenaan berusia 15 dan 16 tahun didapati tidak bersekolah.

“Kesemua mereka dikenakan saman dan diserahkan kepada penjaga masing-masing manakala basikal disita mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurut Seksyen itu, seorang pegawai polis, pegawai pengangkutan jalan atau warden lalu lintas boleh menahan mana-mana basikal, basikal elektrik atau trisikal yang dalam pandangannya suatu kesalahan telah dilakukan berkenaan dengannya.

Loading...