Betul Ke Ada Program Sarapan Percuma, Baucar Buku Tahun Depan?

KUALA LUMPUR – Kegagalan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menjawab soalan lisan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong mengenai status Program Sarapan Percuma (PSP) amat mengejutkan.

Semakan pada Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2020 B/P. 63 Kementerian Pendidikan mendapati tiada peruntukan khusus dalam Belanjawan 2020 untuk PSP yang dianggarkan mencecah RM1.67 billion sebagaimana yang diumumkan Maszlee sebelum ini.

Sebaliknya, program Kerajaan Barisan Nasional terdahulu iaitu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) masih menerima peruntukkan berjumlah RM295,120,000 di bawah Butiran 081200.

Demikian juga dengan status Program Baucar Buku RM250 seperti yang dijanjikan Maszlee untuk diperkenalkan semula pada tahun 2020, di hadapan mahasiswa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 4 Mac 2019 lalu.

Ternyata tiada langsung tercatat peruntukan untuk Program Baucar Buku RM250 dalam Belanjawan 2020.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki mempersoalkan apakah benar PSP dan program Baucar Buku ini akan bermula 1 Januari 2020 sebagaimana yang dijanjikan kepada rakyat memandangkan tiada peruntukan khusus yang disebut dalam Belanjawan 2020.

“Apakah YB Menteri Pendidikan ada berbincang atau berwhatsapp dengan YB Menteri Kewangan mengenai program-program besar ini sedangkan langsung tidak disebut dalam ucapan mahupun dicatatkan dalam mana-mana bahagian dalam Belanjawan 2020?

“Apakah peruntukan RM295 juta untuk RMT dalam Belanjawan 2020 memberikan isyarat dasar kerajaan BN terdahulu ini lebih berkesan untuk diteruskan berbanding idea PSP YB Menteri?” soalnya yang turut bertanya apa nasib PSP dan Baucar Buku ini seperti janji Maszlee untuk menghapuskan tol Simpang Renggam.

Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak penjelasan segera daripada pihak Maszlee Pendidikan kerana ia melibatkan harapan rakyat.

Cukuplah rakyat ditipu sekali lantaran kegagalan PH melaksanakan janji Manifesto PRU14, ujarnya. – MalaysiaGazette

Loading...