“Bersatulah Menentang Musuh Bersama”

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, meminta rakyat negara ini bersatu menentang COVID-19.

“Ketika krisis dan perang, seluruh negara mesti bersama-sama bersatu menentang musuh bersama,” katanya melalui ciapan di Twitter, hari ini.

Beliau turut memetik laporan sebuah portal berita berhubung kenyataan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang menyambut baik pengisytiharan darurat berikutan wabak COVID-19 di negara ini.

Selain sah dari segi perundangan dan perubatan, Sri Ram menegaskan ia boleh dilaksanakan tahun lalu ketika pertama kali dicadangkan.

Bekas hakim itu tidak bersetuju Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memadai untuk memerangi COVID-19 dan menjelaskan ia hanya akan berkesan jika disertai dengan pelaksanaan darurat.

Katanya, pengalaman sebelum ini membuktikan tidak mudah mengawal pergerakan rakyat dalam usaha meminimumkan penyebaran virus.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Sehingga semalam, Malaysia merekodkan 141,533 kes COVID-19, dengan 559 kes kematian, dengan jumlah kes jangkitan baharu tertinggi turut dicatatkan semalam iaitu 3,309 kes. – BH Online