Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Jaringan Kilat Sumareh Bantu...

KUALA LUMPUR – Dua gol dalam tempoh lima minit oleh penyerang naturalisasi pertama...

Izreen Minta Netizen Henti...

PLOT cerita kontroversi melibatkan pelakon jelita, Izreen Azminda semakin hangat apabila rakan baiknya,...

Industri Bekalan Makanan, Perubatan...

PUTRAJAYA - Syarikat pengeluar, pemborong, logistik, peruncitan dan e-dagang, yang telah diberikan pengesahan...

Tambah Pendekatan Tangani Rasuah...

KUALA LUMPUR - Peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014 adalah...

PPBM Perjuang Agenda Bumiputera Baru Misi Nasional

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan memperjuangkan Agenda Bumiputera baharu yang akan dilaksanakan sebagai agenda nasional dan benar-benar dapat memajukan orang Melayu dan bumiputera secara keseluruhannya.

Ketegasan itu dilaungkan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjanji akan membawa agenda itu ke Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) agar dijadikan dasar teras PH dan diterima kabinet sebelum dilaksanakan.

“Sebagai sebuah parti pribumi, PPBM tidak perlu bersikap apologetik untuk memperjuangkan Agenda Bumiputera,” katanya sewaktu merasmikan Persidangan Tahunan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Armada yang juga Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Srikandi yang merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun serta kira-kira 1,600 perwakilan kedua-dua sayap tersebut.

Perhimpunan Agung Tahunan PPBM yang bermula hari ini hingga Ahad adalah yang pertama diadakan selepas PH menerajui kepimpinan negara susulan Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata antara cabaran besar bagi PPBM sebagai sebuah parti pribumi ialah untuk membuktikan kepada orang Melayu bahawa kedudukan mereka akan lebih terjamin di bawah pentadbiran kerajaan PH, lebih-lebih lagi dalam keadaan pencapaian orang Melayu yang masih rendah dalam pelbagai bidang.

“Misalnya, 74 peratus daripada kumpulan B40 iaitu yang berpendapatan isi rumah bawah RM4,360 sebulan adalah orang Melayu dan bumiputera. PPBM adalah satu-satunya parti dalam PH yang menggalas tanggungjawab memperjuangkan nasib orang Melayu dan bumiputera tanpa mengetepikan hak kaum-kaum lain.

“Agenda Bumiputera yang baharu ini akan berasaskan konsep perkongsian kemakmuran bersama yang saksama atau equitable shared prosperity. Menerusi kerangka baharu ini, semua rakyat akan dapat menikmati kemakmuran negara secara bersama iaitu tidak ada mana-mana kumpulan rakyat yang ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata kejayaan ekonomi tidak lagi akan diukur berasaskan kadar pertumbuhan ekonomi semata-mata tetapi yang lebih penting ialah peningkatan kuasa beli rakyat secara menyeluruh dan penghapusan jurang pendapatan di antara kaum, kelas dan wilayah.

Jelasnya, tumpuan dasar baharu ini ialah untuk mewujudkan kesamaan hasil dan bukannya menyediakan kesamaan peluang semata-mata.

“Kesamaan peluang yang tidak membuahkan kesamaan hasil bukanlah satu dasar yang adil. Jika tumpuan hanya diberikan kepada menyediakan kesamaan peluang dan bukannya kesamaan hasil, lama-kelamaan jurang kekayaan antara saudara dan rakan saudara akan terus melebar,” katanya.


Justeru, katanya agenda bumiputera tidak seharusnya bertumpu pada usaha menangani kemiskinan relatif golongan tersebut semata-mata, tetapi untuk turut membangunkan kumpulan profesional dan kelas menengah serta melahirkan kumpulan korporat dan peniaga yang tulen, kompetitif dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ini bakal mewujudkan satu generasi kelas perniagaan dan perindustrian bumiputera yang mampu menjana kekayaan baharu, mewujudkan nilai tambah dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di negara ini,” katanya.

Bagi menjayakannya, Muhyiddin berkata pembaharuan dan pemerkasaan institusi-institusi seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) harus dilaksanakan selain pelaksanaan tadbir urus yang baik dan membanteras gejala rasuah serta ketirisan dalam kalangan agensi-agensi pelaksana Agenda Bumiputera.

“Kerajaan mesti mengenal pasti kumpulan usahawan dan peniaga bumiputera yang tulen untuk dibantu. Untuk tujuan ini, satu Data Raya perniagaan bumiputera boleh dibangunkan untuk mengenal pasti, memudah cara dan menyokong peniaga bumiputera yang benar-benar layak,” katanya.

Bagi memacu ekonomi pula, Muhyiddin berkata pelbagai inisiatif sokongan perlu dilaksanakan antaranya memberi keutamaan kepada syarikat bumiputera dalam perolehan kerajaan dan mengenal pasti pemacu-pemacu ekonomi dalam kalangan korporat bumiputera dengan projek ekonomi berskala besar untuk dimudah cara kerajaan.

Beliau turut menasihatkan orang Melayu agar mengubah sikap untuk berjaya dan harus sedar bahawa bantuan kerajaan semata-mata tidak memadai untuk menjamin kejayaan mereka.

Kira-kira 3,000 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan agung tiga hari itu melibatkan 135 bahagian di seluruh negara termasuk 98 bahagian sayap Srikandi dan 115 sayap Armada. – BERNAMA

Kategori