Bersatu Bukan Jelmaan UMNO 2.0

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya menolak persepsi sesetengah pihak bahawa Bersatu adalah jelmaan UMNO 2.0 dengan ramai bekas pemimpin dan anggotanya dilaporkan ingin menyertai parti itu.

Beliau menegaskan kewujudan Bersatu adalah berlandaskan prinsip melawan kejahatan dan kerosakan yang dilakukan pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu sehingga terpalit dengan pelbagai skandal dan hutang negara yang besar .

“Saya juga bekas pemimpin UMNO, dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang lebih lama menjadi ahli juga pernah keluar sebelum ini tapi tak pernah masuk mana-mana parti sehingga keadaan kembali pulih menyokong semula UMNO.

“Tapi kali ini agak berbeza kerana kita terpaksa membuat keputusan menubuhkan parti baharu dengan satu platfrom kita nak menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada waktu itu,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program temu bual Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, malam ini.

Marzuki yang juga Pengerusi Bersatu Pulau Pinang berkata Bersatu juga lahir atas dasar memperjuangkan kebenaran selepas UMNO dahulunya menutup saluran kepada anggotanya yang menegur kesalahan pemimpinnya.

“Kita lihat ahli dan pemimpin UMNO terdahulu seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal orang-orang yang berjuang menyatakan kebenaran dihukum, Tun Dr Mahathir sendiri dikenakan pelbagai kecaman dan tekanan.

“Maka kita lihat UMNO tidak mahu berubah, sudah tiba masa kita lawan dan tubuh parti baharu,” katanya.

Mengenai banyak keputusan menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) yang ‘flip-flop’, Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri berkata pakatan itu baharu tujuh bulan membentuk kerajaan dan kebanyakan mereka masih baru dan tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.

“Kita akui, banyak perkara kita pelajari dan banyak menerima tunjuk ajar daripada Tun Dr Mahathir sendiri. Sekarang kita dalam proses baiki kelemahan itu supaya kita dapat menjadi kerajaan yang lebih komited dalam membangunkan negara,” katanya. – BERNAMA