BERSATU Akan Bincang Isu Penahanan ADUN Dengkil

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan membincangkan isu penahanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah, pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, esok.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Pengerusi BERSATU, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerana perkara itu membabitkan soal disiplin dan imej parti.

Beliau berkata, parti bagaimanapun perlu bersikap adil dan tindakan tidak boleh dikenakan sehingga Adhif Syan benar-benar didapati bersalah serta dijatuhkan hukuman.

“Kita menyerahkan kepada pihak makmal untuk mengenal pasti ujian kedua saringan air kencing.

“Selepas itu, barulah kita boleh mengambil tindakan susulan,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Jamil Rakon, dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Adhif Syan bersama 16 individu lain ditahan polis dalam serbuan terhadap sebuah unit kondominium dekat Jalan Puchong, awal minggu ini, yang disyaki menjadi tempat penyalahgunaan dadah dan judi.

Hasil saringan awal terhadap 17 individu, termasuk enam wanita yang ditahan itu, 16 daripada mereka dikesan positif dadah.

Kesemua mereka kecuali seorang wanita warga asing, sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan masih dijalankan, termasuk menunggu keputusan saringan kedua yang dilakukan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pihaknya tidak akan campur tangan dalam kes itu dan menyerahkan sepenuh kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata, pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan berdasarkan proses undang-undang dan selepas menerima keputusan, barulah tindakan susulan dapat dilaksanakan. – BH Online

Loading...