Bersanding Selepas 11 Tahun Bernikah

“KIRA-KIRA 11 tahun lalu, kami hanya nikah di pejabat agama dan tidak adakan sebarang majlis kerana tiada duit.

“Alhamdulillah, sekarang ini Allah SWT beri rezeki dan kami buat majlis perkahwinan walaupun sudah ada tiga anak,” kata Nur Zafirah Ahmad Rabillah, 26, mengenai majlis persandingannya yang tular di Facebook.

Nur Zafirah yang kini mengandung anak keempat berkata, majlis di rumahnya di Taman Selasih, Port Dickson, pada 30 November lalu itu diadakan sempena ulang tahun perkahwinannya dan suami, Musthaza Zainudin, 28.

Katanya, ia diadakan bagi menyempurnakan hasrat dan impian mereka selama ini yang mahu mengadakan majlis perkahwinan sekiranya dikurniakan rezeki oleh Allah SWT.

“Saya dan suami sangat bersyukur kerrana apa yang dirancang sejak bertahun lalu akhirnya tercapai. Bukan niat kami untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya mahu menyimpan kenangan terindah dan merasai nikmat bersanding seperti pasangan pengantin lain.

“Saya tidak sangka pula perkongsian gambar persandingan kami di Facebook saya itu dikongsi ramai dan menjadi tular,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berkongsi kisah hidupnya, Nur Zafirah berkata, dia dan suami mendirikan rumah tangga pada 2008 ketika masing-masing berusia 15 serta 17 tahun sebelum dikurniakan anak pertama setahun kemudian.

“Dulu kami hidup susah dan hanya ada motosikal sahaja untuk mencari rezeki. Macam-macam kerja kami buat termasuk mencuci tandas, memotong rumput, bersih longkang dan pembantu kedai makan.

“Kadang-kala terpaksa meminta belas ihsan orang lain untuk beli susu dan lampin anak, nak makan pun bercatu. Namun kami tidak pernah putus asa demi anak dan sekarang mampu membesarkan mereka hasil usaha kami selama ini,” katanya yang kini mempunyai produk ais krim sendiri.

Justeru dengan rezeki dikurniakan Allah SWT itu, Nur Zafirah berkata, suami mencadangkan supaya mereka menunaikan impian mengadakan majlis perkahwinan semula.

Menurutnya, pada mulanya dia hanya mahu mengadakan majlis doa selamat dan ambil gambar perkahwinan saja, tetapi hasil perbincangan bersama keluarga kedua-dua pihak, mereka sepakat mengadakan majlis perkahwinan seperti pasangan baru berkahwin.

“Mula-mula rasa malu kerana anak sudah tiga baru nak bersanding. Namun sokongan suami dan keluarga selain melihat anak begitu teruja, saya segera buat tempahan pakaian, pelamin, katering dan sebagainya.

“Lebih menggembirakan, ketika persiapan dibuat saya disahkan mengandung. Disebabkan semua sudah ditempah kami teruskan majlis ini,” katanya.

Katanya, majlis berkenaan berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 400 tetamu termasuk sanak-saudara, jiran dan rakan. – myMetro Online

Loading...