Berpolitiklah Secara Jujur, Bersih, Bermaruah

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengajak semua pihak khususnya umat Islam berpegang kepada ajaran Islam sebenar serta berpolitik secara jujur, bersih dan bermaruah demi kebaikan rakyat dan negara.

Tegas beliau, Islam juga mengajar umatnya untuk menjaga maruah diri dan saudara; yang termasuk di dalam Maqasid Syariah yang lima iaitu menjaga agama; nyawa; akal; keturunan dan harta.

“Malaysia kini berdepan dengan krisis integriti dan krisis moral. Oleh itu, Islam mengajar kita berwaspada ketika datang suatu berita yang tidak pasti kesahihannya.

“Islam turut mengajar untuk berwaspada ketika datang suatu berita yang tidak pasti kesahihannya,” katanya menerusi ciapan dalam akaun Twitter miliknya hari ini.

Semalam, beberapa klip video tular memaparkan dua lelaki berada di atas katil dalam keadaan bogel melakukan aksi seksual dengan seorang daripadanya didakwa kelihatan menyerupai seorang menteri kanan Kabinet.

Hari ini, satu video dimuat naik seorang pemuda awal pagi tadi yang membuat pengakuan dirinya merupakan seorang daripada lelaki dalam video tersebut dan mendakwa seorang lagi lelaki adalah menteri berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Loading...