Berita Palsu? Najib Soal Balik Kit Siang, Guan Eng

PETALING JAYA – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng susulan kenyataan Kit Siang bahawa pengundi di Tanjung Piai dihujani “pembohongan, berita palsu dan ucapan kebencian” di media sosial.

Najib juga menyenaraikan pelbagai dakwaan yang dibuat terhadap beliau sebelum ini oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika mereka menjadi pembangkang, sekali gus menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak pernah dibuktikan.

Dalam kenyataannya di Facebook hari ini Najib berkata:

“Eh? Pengundi Tg Piai dihujani pembohongan, berita palsu dan kebencian?

“Maksudnya Guan Eng dan Kit Siang dah mula buka mulut untuk berceramah di Tanjung Piailah tu.”

Terdahulu hari ini Kit Siang mendakwa PH mempunyai masa dua minggu untuk menjadikan pengundi di Tanjung Piai rakyat Malaysia yang “paling celik media” yang mampu mengenal pasti pembohongan dan ucapan kebencian yang tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Kata beliau, antara dakwaan itu ialah PH gagal memenuhi janji yang dibuatnya dalam manifesto pilihan raya 18 bulan selepas ia berkuasa.

“Mana toll-free PLUS dan jambatan Pulau Pinang,” kata Najib.

Beliau seterusnya menyenaraikan dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya oleh pemimpin PH yang sehingga kini tidak pernah dibuktikan.

“Mana pendrive? Mana bukti saya membunuh Teo Beng Hock, Hussain Najadi, PI Bala dan Antantunya,” katanya.

Najib berkata, tidak ada bukti yang menyokong dakwaan bahawa dua kapal selam buatan Perancis yang dibeli pada masa pemerintahan Barisan Nasional (BN) tidak boleh menyelam.

Tidak juga ada bukti yang menyokong dakwaan kononnya BN membawa masuk 40,000 pengundi hantu bagi memenangkan gabungan politik itu dalam pilihan raya umum ke-13.

“Mana bukti PAS dan UMNO adalah Taliban sedangkan BN mencalonkan orang MCA (dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai),” soal Najib.

Awal tahun ini timbalan speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dari DAP mencetuskan kontroversi berkait Taliban dengan menggunakan perkataan itu bagi menggambarkan kerjasama UMNO-PAS dengan berkata, Malaysia akan diperintah seperti Afghanistan.

BN mencalonkan pemimpin MCA Wee Jeck Seng sebagai calonnya dalam PRK Tanjung Piai.

Wee yang pernah mewakili kerusi Parlimen itu selama dua penggal tewas di tangan Dr. Md Farid Md Rafik dari PH dalam pilihan raya umum lepas dengan majoriti kecil.

Md Farid meninggal dunia pada September lepas kerana komplikasi jantung.

Dalam PRK pada 16 November depan, Wee berdepan saingan daripada calon PH Karmaine Sardini, calon Gerakan Wendy Subramaniam, Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghafar. – FMT

Loading...