Beri Layanan Baik Terhadap Penyokong Lawan

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyeru penyokong Harimau Malaya untuk berkelakuan baik ketika menerima kunjungan penyokong pasukan pelawat pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil.

Beliau berkata, para penyokong Harimau Malaya perlu mencontohi akhlak dan kebesaran jiwa Baginda Rasulullah SAW supaya hubungan baik yang terjalin sesama umat Islam kekal berterusan.

“Di kesempatan ini juga ingin kami gunakan untuk menyeru seluruh penyokong Harimau Malaya untuk tampil dengan akhlak yang baik saat kita sebagai Tuan Rumah melayan penyokong pasukan pelawat nanti.

“Ketinggian akhlak kita cerminan ketinggian mentaliti rakyat berkelas tinggi dunia. Contohilah akhlak dan kebesaran jiwa Baginda Rasulullah SAW. Semoga ukhuwah Islamiyah kita akan terus subur. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut berharap kemenangan Harimau Malaya semalam dapat membakar semangat pemain untuk terus mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan seterusnya.

“Semoga langkah kanan skuad Harimau Malaya ini dapat menjadi bekal semangat berterusan bagi terus memperagakan aksi yang terbaik memenangi perlawanan menentang UAE pada 10 September 2019 nanti dan juga perlawanan-perlawanan yang seterusnya,” katanya. 

Loading...