Berhati-Hati Tangani Propaganda Antivaksin

KUALA LUMPUR – Kira-kira seminggu lepas, saya menerima perkhabaran bekas rakan sekerja saya di agensi akhbar berpangkalan di Dubai, meninggal dunia akibat COVID-19. Beliau individu pertama yang saya kenali menjadi korban virus itu.

Kematian lelaki itu amat saya rasai.

Menurut bekas rakan sekerja yang lain, lelaki itu pulang ke India pada April ketika krisis COVID-19 dan sistem kesihatan di negara itu sedang memuncak. Beliau tidak divaksinasi kerana beliau tidak percayakan vaksin COVID-19.

Saya berjumpa dan menemu bual ramai individu yang keberatan menerima vaksin atau golongan antivaksin, sepanjang membuat liputan mengenai pandemik ini. Namun, beliau orang pertama yang saya boleh katakan maut akibat percaya maklumat yang salah daripada golongan antivaksin.

Di Malaysia, kita juga ada kelompok antivaksin ini. Sejak bermulanya pandemik, negara ini ‘memerangi’ COVID-19 dari dua arah; penyakit itu sendiri dan penyebaran maklumat salah yang kini meragut nyawa.

Tatkala Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes baharu dengan jumlah tertinggi harian sebanyak 9,020 yang dilaporkan pada 29 Mei lalu, kumpulan antivaksin ini atau lebih dikenali ‘anti-vaxxers’, meneruskan ‘serangan’ mereka melalui media sosial, WhatsApp dan juga mulut ke mulut.

Beberapa penceramah di Kelantan misalnya, dikesan menyebarkan maklumat salah tentang vaksin, menyebabkan pihak berkuasa agama negeri itu mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan. Seorang doktor di Kedah pula didapati menggalakkan umat Islam agar tidak divaksinasi atas dakwaan vaksin itu mengandungi produk babi, justeru tidak halal.

(Semakan fakta: Tidak benar. Pfizer/BioNTech, Moderna dan AstraZeneca/Universiti Oxford menyatakan vaksin terbabit tidak mengandungi produk haiwan. Indonesia mengesahkan vaksin Sinovac sebagai halal. Ulama dari Malaysia dan Universiti Al Azhar di Mesir juga menyatakan isu itu tidak perlu dibahaskan kerana tidak divaksinasi akan menyebabkan kemudaratan lebih besar).

Golongan antivaksin juga memainkan isu kesan sampingan dengan menokok tambah atau berbohong tentang kesan vaksin bagi menakut-nakutkan orang ramai. Kaedah ini boleh mempengaruhi orang awam kerana kesan sampingan sememangnya menakutkan. Apatah lagi ini membabitkan vaksin baharu bagi penyakit baharu dan belum ada lagi kajian jangka panjang.

Adakah memeranjatkan apabila ramai yang tidak hadir janji temu suntikan vaksin mereka?

Angka terkini menunjukkan ribuan individu hampir di semua negeri gagal hadir pada tarikh janji temu, termasuk 14,144 di Johor; 10,827 di Kedah dan hampir 10,000 di Kelantan.

Mungkin ada masalah pengangkutan, namun kemungkinan terpengaruh dengan propaganda antivaksin juga tidak boleh disangkal. Sebahagian besar warga emas. 

Sekiranya anda fikir masalah ini isu generasi dan terhad kepada penduduk berusia, anda silap. Ramai individu Gen X (berusia 41-56 tahun) dan Milenial (25-40 tahun), juga enggan divaksin.

Antara contohnya ialah pada Mac lalu dilaporkan sebahagian anggota dan pegawai polis di Kelantan enggan divaksin. Data Kementerian Kesihatan juga menunjukkan kira-kira 20 peratus petugas di rumah jagaan warga tua menolak vaksinasi.

Ketua Pusat Kaunseling Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Siti Rozaina Kamsani berkata, tiada siapa yang kebal terhadap maklumat salah pada era digital ini dan menyifatkannya sebagai ‘terlebih maklumat’.

“Manusia bila dia baca sesuatu maklumat, dia tak terus proses. Dia akan ambil, dia ‘absorb’ (terima), dan dia perlukan seketika untuk proses apa yang dia baca sebenarnya. Ada sesetengah boleh baca dan proses. Tapi banyaknya antara kita, dalam keadaan hidup terkejar-kejar ini, banyak benda kita akan cepat ‘absorb, absorb, absorb’ tanpa kita fikir,” katanya.

Setakat 9 Jun lalu, kira-kira 54 peratus penduduk yang disasarkan mendaftar untuk suntikan vaksin. Masalah sekarang ialah memastikan mereka yang belum mendaftar, kebanyakannya mungkin terpengaruh dengan maklumat antivaksin, mendaftar dan menerima vaksin, bagi merealisasikan pembentukan imunisasi kelompok.

Cara terbaik untuk meyakinkan mereka dengan mendekati golongan ini secara langsung.

Dr Siti Rozaina berkata, perkongsian daripada orang yang mereka kenali boleh membantu meyakinkan golongan yang keberatan untuk mengambil vaksin.

Namun, pada peringkat awal pemvaksinan, kisah-kisah sebegini dikongsikan menerusi video, memetik petugas barisan hadapan dan pemimpin kerajaan yang diutamakan dalam fasa satu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Kemudian keadaan berubah, ironinya perubahan berpunca daripada golongan antivaksin, apabila ramai penerima vaksin daripada segenap lapisan masyarakat tampil menceritakan pengalaman mereka, selain menunjukkan keselamatan dan keberkesanan vaksin pada masa sebenar kepada orang kesayangan mereka.

Malaysia menggugurkan vaksin AstraZeneca daripada program itu pada 28 April disebabkan kebimbangan terhadap pembekuan darah yang dikaitkan dengan vaksin itu. Namun, kerajaan memutuskan untuk menawarkan vaksin berkenaan kepada umum berdasarkan konsep “siapa datang dahulu” yang dijalankan seiring dengan program imunisasi, hingga Julai ini.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Slot janji temu penuh dalam tempoh beberapa jam. Apabila pemvaksinan bermula, pengalaman peribadi juga mula dikongsikan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata program secara sukarela itu dapat membantu menggalakkan penerimaan vaksin.

“Program itu berjaya mengubah sikap dan keyakinan terhadap vaksin, khususnya bagi populasi berusia 30-an ke atas,” katanya.

Cerita beliau: “Sebagai antara yang mendaftar dan menerima vaksin AstraZeneca, saya berjaya meyakinkan beberapa individu dalam kalangan rakan dan juga keluarga saya.

“Seorang daripada mereka ‘agak berminat’ dengan kesihatan saya selepas menerima suntikan itu. Dia asyik bertanya tentang perkembangan saya, kesan sampingan dan apa yang saya rasa.

“Saya hanya alami kesan sampingan yang ringan. Walaupun saya juga terkena ‘COVID arm’, iaitu istilah yang diberi bagi menjelaskan kesan di sekitar kawasan suntikan, kesan itu hanya muncul kira-kira seminggu kemudian dan hilang tidak lama selepas itu,” katanya.

Wanita yang begitu ‘prihatin’ terhadap kesihatannya itu, kemudian mengaku dia berbuat demikian bagi membantunya membuat keputusan sama ada mendapatkan vaksin sama atau yang lain.

“Apabila saya melepasi tempoh dua minggu selepas menerima suntikan tanpa sebarang masalah, dia mendaftar dan mendapatkan suntikan dos pertama. Kesan sampingan yang dialaminya serius sedikit berbanding saya. Namun, hilang dalam tempoh dua hari,” katanya. 

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, setakat 25 Mei lalu, tidak ada sebarang laporan mengenai kesan buruk yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19 sehingga memerlukan rawatan perubatan berterusan.

Dalam pada itu, Dr Rozaina berkata, bagi kawasan luar bandar, penggunaan mesej provaksin yang mampu menarik masyarakat setempat amat penting. 

Satu caranya ialah dengan memberikan penekanan tentang kembali kepada kebiasaan sebelum pandemik, seperti menunjukkan bilik darjah yang dipenuhi murid dan guru yang sudah divaksinasi bagi menarik pensyarah dan pelajar kolej, atau bagi golongan warga emas pula, yakinkan mereka dengan peluang dapat kembali mengerjakan haji. 

“Kawan saya, mak dia memang tak nak ambil. Tapi dia cakap dekat mak dia, tak nak pergi haji ke? Tak nak pergi umrah? Kalau nak, kena ambil sebab kerajaan Arab Saudi wajibkan untuk mengambil vaksin. Jadi, dia pergi,” katanya. 

Kaedah lain termasuk memanfaatkan pemimpin agama tempatan dalam usaha mempromosikan kesihatan awam. Di beberapa negeri, imam menyampaikan khutbah yang menggalakkan vaksinasi, menekankan tentang tanggungjawab setiap orang untuk memastikan diri mereka serta orang sekeliling selamat dan sihat. 

Dr Rozaina berkata, kawasan seperti di negeri-negeri di utara dengan agama memainkan peranan besar, inisiatif sebegini dapat membantu meyakinkan masyarakat untuk menerima vaksin. Tambah beliau, imam juga boleh menerajui kempen pendaftaran seperti yang dilakukan oleh seorang imam di Pusat Islam Al Abbas di United Kingdom.

Dalam keadaan sistem penjagaan kesihatan hampir lumpuh, ketakutan terhadap penyakit itu menyemarakkan minat orang ramai terhadap vaksinasi. Tentangan terhadap golongan antivaksin juga meningkat dengan sekurang-kurangnya dua individu didakwa kerana memuat naik hantaran berunsur pembohongan tentang vaksin dalam media sosial. 

Akan tetapi, ada pandemik atau tidak, penularan maklumat salah daripada golongan antivaksin akan terus berlaku. Dr Zainal berkata, orang ramai seharusnya membuat keputusan tentang vaksinasi berdasarkan sains dan fakta.

“Vaksin telah diberikan kepada jutaan individu (di seluruh dunia). Apa yang kita ketahui daripada maklumat terkini ialah keberkesanan melebihi 95 peratus dari segi melindungi orang ramai daripada jangkitan serius yang mungkin memerlukan rawatan di hospital dan kematian,” katanya.

Dalam kata lain, jangan pedulikan apa yang dikatakan oleh mak cik dan pak cik dalam Facebook atau sesiapa sahaja yang mendakwa mereka pakar tanpa memberikan bukti kepakaran.

Sebaliknya, dengar kepada mereka yang menyaksikan serta memerangi penyakit itu secara langsung dan percaya apabila mereka kata COVID-19 satu risiko yang mesti dielak oleh semua orang.

Jika tidak, Malaysia mungkin akan menyaksikan akibat buruk susulan propaganda golongan antivaksin ini seperti yang menimpa bekas rakan sekerja saya, seseorang yang ditawarkan vaksin, namun menolak kerana percaya kepada pembohongan dan berakhir dengan kematian beliau akibat penyakit itu. – BERNAMA