Berat Badan Chong Wei Susut Hampir 5 Kilogram

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata beliau amat gembira untuk melihat keadaan…

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata beliau amat gembira untuk melihat keadaan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, yang semakin pulih

Beliau berkata walaupun pemain itu kehilangan berat badan hampir lima kilogram tetapi beliau nampak ceria bersama keluarga sejak kembali selepas menjalani rawatan selama lebih dua bulan di Taiwan, Ahad lalu.

Norza, yang berkunjung ke rumah Chong Wei hari ini, berkata bekas pemain nombor satu dunia itu mungkin memerlukan masa beberapa minggu lagi untuk berehat dan menguatkan sistem imunisasi badannya sebelum boleh berjumpa orang ramai.

Pada pertemuan itu, beliau berkata, mereka membincangkan rawatan yang dilalui oleh pemain itu serta perkembangan prestasi skuad negara.

Chong Wei yang disahkan menghidap kanser hidung tahap pertama selesai menjalani rawatan di Taiwan.

“Kami berbicang mengenai skuad negara dan Chong Wei gembira dengan Lee Zii Jia yang memenangi kejuaraan Terbuka Taiwan,” katanya ketika dihubungi oleh Bernama.

Terdahulu, Norza mengirimkan gambar terbaru beliau bersama Chong Wei dalam akaun Instagramnya semasa kunjungan ke rumah pemain itu.

Ditanya bila pemain nombor satu negara itu dijangka kembali semula ke gelanggang, Norza berkata:

“Belum bincang lagi perkara itu… kerana yang paling penting adalah kesihatan beliau. Yang pentingnya, kami mahu menentukan Chong Wei rehat secukupnya dan pulih seperti sediakala”. – BERNAMA

Loading...