Benarkah DAP ‘Menang Besar’ Selepas Maszlee Letak Jawatan?

PETALING JAYA – Seorang penganalisis politik mempersoalkan persepsi peletakan jawatan Menteri Pendidikan Maszlee Malik memberi “kemenangan yang amat besar” kepada DAP, yang paling kerap menyerang pemimpin PPBM itu dan menggesa beliau meletak jawatan.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia menarik perhatian kepada 6 isu yang menyaksikan pertembungan antara Maszlee dan DAP, antaranya peruntukan sekolah menengah persendirian Cina, Sarawak medan dakwah, dan kuota pelajar matrikulasi universiti awam.

Oleh itu, katanya, maka pastilah persepsi yang timbul dalam kalangan orang ramai ialah peletakan jawatan Maszlee, yang berkuat kuasa hari ini, merupakan kemenangan untuk parti pemerintah itu.

“Malah tidak sedikit yang menyebut pemimpin DAP, khususnya yang begitu lantang mendesak Maszlee supaya meletakkan jawatan sedang beraya besar waktu ini.

“Soalnya ialah benarkah DAP sudah menang besar?” katanya di Facebook semalam.

Menyusun perselisihan antara Maszlee dan DAP secara kronologi, Kamarul berkata Maszlee diserang seawal Julai 2018 lagi selepas memaklumkan di Parlimen tiada peruntukan bagi sekolah menengah persendirian Cina kerana tidak termasuk dalam sistem pendidikan nasional.

“Beliau terus diserang oleh pemimpin DAP, khususnya ketua Pemuda merangkap ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh, dan ADUN Bercham, Ong Boon Piow.

“Paling keras adalah kenyataan Ong pada 26 Julai 2018 berbunyi: ‘Perdana menteri perlu menilai semula kedudukan Maszlee sebagai menteri pendidikan’.”

Media melaporkan Ong kemudiannya secara terbuka memohon maaf atas desakan itu dalam satu kenyatan di Facebook.

Kamarul berkata Maszlee juga diserang pada Disember 2018 selepas menasihatkan di Parlimen supaya guru-guru agama dari Semenanjung menjadikan Sarawak “medah dakwah”.

“Paling keras adalah kenyataan Abdul Aziz Isa, pada 21 Disember 2018 berbunyi: ‘Maszlee patut kemas barang-barangnya dan hantar surat peletakan jawatan kepada perdana menteri’.”

Media melaporkan Aziz, ketika itu setiausaha publisiti Pemuda DAP Sarawak, menarik balik kenyataannya pada hari yang sama.

“Serangan lebih keras datang bila Maszlee mempertahankan keputusan Kabinet pada 24 April 2019 mengekalkan kuota 90% Bumiputera dan 10% bukan Bumiputera untuk kemasukan pelajar matrikulasi univeristi awam,” kata Kamarul.

Katanya, 20 pemimpin DAP tidak berpuas hati dalam satu kenyataan bersama, tetapi serangan paling keras daripada ahli jawatankuasa tertinggi pusat DAP, seperti Teng Chang Khim, P Ramasamy dan Ronnie Liu Tian Khiew.

“Kita perlukan menteri pendidikan yang lebih baik,” tulis Kamarul, memetik kenyataan Liu.

Isu lain dalam senarai Kamarul adalah pengajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan, komik “Inisiatif Jalur dan Jalan: Meraih Manfaat Bersama”, dan soalan peperiksaan hubungan etnik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Dalam isu komik, Kamarul berkata Maszlee diserang 43 pemimpin muda DAP yang diketuai Timbalan Ketua Pemuda, Chiong Yoke Kong, selepas mengarahkan jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah untuk memastikan sekolah tidak menerima dan membuat edaran komik kontroversi itu.

“Beliau sekali lagi diserang beramai-ramai,” katanya.

Media melaporkan Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How berkata kandungan komik itu, yang diharamkan Kementerian Dalam Negeri, antaranya kerana cuba mempromosikan ideologi komunisme, tidak mencerminkan pendirian DAP dan Pemuda DAP. – FMT

Loading...