Belum Putuskan Beri Subsidi Petrol Bersasar M40

PUTRAJAYA – Meskipun cadangan pelaksanaan subsidi petrol bersasar masih berada di peringkat pengumpulan data namun ia tetap akan dilaksanakan mengikut jadual pada bulan hadapan.

Perkara tersebut disahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Ketika ditanya sama ada pemberian susidi petrol bersasar itu akan diperluaskan kepada golongan berpendapatan menengah (M40), Perdana Menteri berkata, tiada sebarang keputusan muktamad telah diambil.

“Kami masih berada di peringkat pengumpulan data.

“Tiada keputusan sebenar telah dimuktamadkan,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi di sini, hari ini.

April lalu, Saifuddin mengumumkan kerajaan telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan subsidi petrol bersasar dan hanya menantikan senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Katanya, senarai penerima BSH itu akan dijadikan data asas kepada penyaluran subsidi berkenaan.

Sekiranya berjaya, kerajaan juga katanya berhasrat untuk meluaskan pemberian subsidi bersasar kepada barangan keperluan asas yang lain seperti minyak masak, petroleum gas cecair (LPG) dan tepung serta kumpulan M40.

Ketika ini kerajaan melaksanakan Automatic Pricing Mechanism (APM) kepada bahan api seperti RON97, RON95 dan diesel.

Bagaimanapun, harga RON95 dan diesel ditetapkan pada kadar tidak melebihi RM2.08 dan RM2.18 seliter. – MalaysiaGazette

Loading...