Belum Putus Nyah Warta Hutan Simpan Bukit Lagong

SHAH ALAM – Belum ada sebarang keputusan dibuat untuk menyahwartakan sebahagian kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong, Gombak bagi membangunkan projek perumahan di situ, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau berkata setakat ini, hanya pendengaran awam sahaja dijalankan bertujuan mendengar pendapat semua pihak sebelum membuat keputusan dan jika ada sebarang bantahan signifikan, mereka boleh kemukakan dalam sesi seterusnya.

“…jadi sebelum sebarang keputusan dibuat, janganlah terpekik terlolong terlebih dahulu. Nyatakan pandangan kepada kita secara rasional dalam pendengaran awam tersebut (yang akan dilaksanakan pada masa depan).

“Kerajaan negeri akan mempertimbangkannya sebab amat jelas komitmen kita untuk terus memastikan kawasan hutan dan juga kawasan hijau dikekalkan,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) hari ini yang dilapor kecewa dengan tindakan kerajaan Selangor yang didakwa menyahwartakan sebahagian hutan simpan itu bagi membolehkan pembinaan projek perumahan.

Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata penyahwartaan itu ibarat menunjukkan kerajaan negeri tidak menghiraukan alam sekitar dan membangunkan tanah yang boleh memperoleh keuntungan.

Tegas Amirudin, jika ada pun penyahwartaan dibuat, pihaknya akan mewartakan tanah lain yang sama saiz seperti mana dasar 30 peratus hutan simpan untuk dikekalkan. – BERNAMA

Loading...