Belasah, Rompak MRT: Lelaki Dipenjara 18 Tahun

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan sebat lima kali terhadap seorang lelaki yang sebelum ini tular memukul dan merompak seorang wanita di Stesen Transit Aliran Massa (MRT), Februari lalu.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman tersebut selepas G. Thina Thayaalan, 26, selesai memberi keterangan bela diri dari kandang tertuduh. Tiada saksi pembelaan lain dipanggil untuk memberi keterangan.

Ketika membacakan keputusannya, Mahyon berkata, segala keterangan bela diri tertuduh hanyalah penafian semata-mata.

“Mahkamah ambil maklum keterangan tertuduh yang dibuat dari kandang tertuduh tetapi mahkamah juga telah meneliti rakaman kamera tertutup (CCTV) berulang kali,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai penyelengara pendingin hawa telah merompak serta mendatangkan kecederaan terhadap seorang pengurus Maybank, Lee Meei Shan, 48 dengan melarikan dua kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kad kredit serta wang tunai RM400.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di MRT Taman Mutiara, Cheras pada pukul 6.45 pagi, 14 Februari lalu.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan membawa hukuman penjara 20 tahun serta sebatan.