Belanjawan Penting Atasi COVID-19, Makmur Negara

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 dengan cadangan peruntukan RM322.5 bilion disifatkan sangat penting bagi menangani ancaman COVID-19 dan memperkasakan sektor pertahanan serta ketenteraman awam negara.

Bagi sektor kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berharap semua Ahli Parlimen dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik dan penuh bijaksana.

Ditanya apa harapan KKM terhadap pengundian Belanjawan 2021 yang dijangka hari ini, beliau berkata, kementerian yakin semua Ahli Parlimen faham dengan situasi dihadapi negara ketika ini dalam hal kewangan serta ancaman penularan COVID-19.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

“Harapan KKM agar Ahli Parlimen yang dipilih rakyat akan mengundi dengan baik dan penuh kebijaksanaan bagi kebaikan sejagat, rakyat dan negara di kala kita melalui pandemik COVID-19. 

“KKM yakin mereka faham dengan situasi semasa, iaitu pandemik COVID-19 dan situasi kewangan negara dan kita berharap Ahli Parlimen akan mengundi dengan bijaksana,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini semalam.

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan memperuntukkan RM31.9 bilion kepada KKM, lebih tinggi berbanding RM30.6 bilion diperuntukkan dalam belanjawan tahun sebelumnya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meletakkan kepercayaan penuh kepada Dewan Rakyat agar Belanjawan 2021 dapat diluluskan bagi memperkasakan sektor pertahanan dan ketenteraman awam negara.

“Pemimpin politik dilihat dapat memainkan peranan masing-masing dengan penuh kematangan dan dengan rasa penuh bertanggungjawab.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa fokus dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, di samping melaksanakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Abdul Hamid berkata, ketika ini, keadaan keselamatan terkawal dan pihaknya sentiasa membuat pemantauan sebarang aktiviti di seluruh negara selain membantu dalam penguatkuasaan bagi membendung penularan COVID-19.

“Kami tetap fokus dalam tugasan membantu Kementerian Kesihatan menangani ancaman COVID-19,” katanya.

Sebelum ini, PDRM mengiktiraf agihan daripada peruntukan berjumlah RM17 bilion yang diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan PDRM kepada masyarakat. – BH Online