Belanjawan 2021 Tak Akan Dipolitikkan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini melahirkan keyakinan bahawa Belanjawan 2021 tidak akan dipolitikkan dan mendapat sokongan jitu daripada ahli-ahli Parlimen demi kemakmuran bersama.

“Insya-Allah, moga unjuran pemulihan ekonomi dapat dicapai menjelang tahun depan,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, Belanjawan 2021 akan meneruskan momentum pemulihan ekonomi yang telah digerakkan sejak bulan Mei yang lalu serta menerusi kesemua pakej rangsangan ekonomi, iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS+, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan KITA PRIHATIN.

Beliau memetik peringatan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk semua memberhentikan segala “politicking” yang telah menganggu kestabilan negara.

Tengku Zafrul seterusnya berkata Yang di-Pertuan Agong turut menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat bagi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Sehubungan itu, saya ingin berkongsi bahawa saya dan warga Kementerian Kewangan sedang berusaha dengan penuh komitmen dan dedikasi untuk menyediakan Belanjawan 2021 yang komprehensif dan tertumpu kepada kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu demi negara Malaysia yang tercinta,” kata beliau ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-27 menerusi akaun Facebook hari ini.

Sementara di dalam laporan berkenaan, beliau berkata di bawah inisiatif untuk menyokong sektor pertanian dan makanan menerusi suntikan pembiayaan dan modal pusingan, sejumlah RM30.3 juta telah disalurkan setakat 16 Okt, memanfaatkan 3,759 PKS mikro pertanian.

Untuk Kempen e-Dagang bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan dilancarkan pada akhir Jun bagi membantu perniagaan tempatan, beliau berkata 20 platform e-dagang telah menyokong usaha ini sebagai rakan pelaksana strategik. 

“Sehingga bulan Oktober, lebih 45,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) baharu telah mendaftar bersama rakan strategik itu dan lebih 115,000 PMKS telah mendapat manfaat yang pelbagai.

“Jumlah jualan yang telah berjaya dijana melalui kempen ini adalah melebihi RM332 juta,” katanya.

Mengenai kempen “Shop Malaysia Online” PENJANA  — inisiatif antara kerajaan dan 22 platform e-dagang untuk menggalakkan pembelian barangan penjual tempatan secara atas talian melalui pemberian baucar digital, beliau berkata sejak dilancarkan pada 1 Ogos, ia telah berjaya menjana jualan bernilai RM896 juta dan memanfaatkan 7.8 juta pengguna serta lebih 213,000 penjual tempatan dari seluruh negara. 

“Dalam masa yang singkat, lebih RM1.2 bilion penjualan atas talian telah berjaya diperolehi daripada kedua-dua inisiatif ini,” tambah beliau. – BERNAMA