Belanjawan 2021 Lulus Di Peringkat Dasar

KUALA LUMPUR – Selepas dua minggu dibahas dan melalui empat hari proses penggulungan oleh setiap kementerian, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar hari ini.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan suara majoriti selepas permohonan beberapa ahli Parlimen untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

Belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional berkenaan dibentang Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November dan seramai 82 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung dari 9 November hingga 19 November.

Menteri-menteri berkenaan mula menggulung pada 23 November sebelum Tengku Zafrul menggulung bagi pihak Kementerian Kewangan hari ini diikuti dengan pengundian untuk meluluskan Belanjawan itu.

Peruntukan mencecah RM322.5 bilion dicadangkan di bawah belanjawan itu, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negara, bagi membantu kerajaan mendepani pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Belanjawan 2021 itu memperuntukkan RM236.5 bilion (73.3 peratus) untuk perbelanjaan operasi, RM69 bilion atau 21.4 peratus perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion (5.3 peratus) kepada Kumpulan Wang COVID-19.

Mengikut Takwim Dewan Rakyat, ia kini akan dibahas di peringkat jawatankuasa selama 10 hari sebelum undi belah bahagian sekali lagi diadakan. – BERNAMA