Belanjawan 2021: Jangan Sampai Ada Kumpulan Berkecil Hati

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta untuk melihat semula intipati Belanjawan 2021 yang dibentangkan sebelum ini agar tiada kumpulan rakyat terpinggir dan berkecil hati.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk-PN) berkata, kumpulan rakyat terpinggir itu termasuklah golongan profesional dan teknikal yang kehilangan pekerjaan atau terpaksa beralih bidang luar demi kelangsungan hidup berkeluarga.

“Lihatlah juga doktor persendirian di mana klinik mereka terpaksa ditutup. Kumpulan GP Doctors (General Practitioners) ini wajib dibantu dengan mewujudkan skim rangsangan ekonomi yang dapat membantu mereka. Mereka kekurangan dan kehilangan pesakit,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2021) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, nasib pengusaha bas persiaran, bas sekolah, bas ekspres dan bas kilang wajar diambil peduli kerana mereka juga terjejas teruk selain menerima tekanan untuk terus melakukan pembayaran bulanan daripada syarikat kredit serta syarikat sewa beli yang tidak tertakluk kepada moratorium.

“Syarikat pinjaman berlesen juga turut menekan peminjam kenderaan sewa beli di mana syarikat ini tidak tertakluk kepada (Financial Services Act) FSA di bawah Bank Negara Malaysia.

“Saya menyokong Akta Kredit Pengguna disegerakan. Saya amat bersimpati dengan pengusaha bas sekolah yang kini tanpa murid dan pelajar ke sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut bertanyakan tentang moratorium kepada penyewa premis perniagaan di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan kerajaan.

“Begitu juga dengan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR), rumah murah, rumah mampu milik yang tidak diberikan moratorium. Mereka merupakan rakyat marhaen yang perlu diberikan pembelaan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut meminta kerajaan peka terhadap beberapa perkara antaranya peminjam kenderaan persendirian, kereta terpakai tanpa moratorium, yuran pelajar universiti wajib dikurangkan dan belia lepasan sekolah yang merupakan penganggur tidak ketara. – Sinar Harian

Loading...