Belanjawan 2020 Tidak Capai Matlamat – Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyifatkan Belanjawan 2020 tidak mencapai matlamat untuk merangka ekonomi negara ke arah lebih baik mahupun bagi menunaikan segala janji kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, secara keseluruhan pengumuman bajet tahun kedua di bawah PH itu tidak dapat dapat menggembirakan hati rakyat.

“Saya tidak lihat bajet ini (Belanjawan 2020) dapat menggembirakan rakyat sebab kalau lihat apa yang berlaku tahun depan, minyak akan naik, harga air akan naik, cukai lain akan diperkenal termasuk cukai digital, dan sebagainya.

“Ini bererti tekanan kepada kos sara hidup akan bertambah dan bantuan kepada penjawat awam tidak sepertimana ditawarkan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sebaik selesai pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut Najib berkata, antara perkara lain yang turut mengecewakan beliau adalah sasaran defisit negara, dijangkakan tiga peratus defisit tahun ini tetapi telah dinaikkan kepada 3.2%.

Katanya, ketika zaman BN memerintah sebelum ini, sasaran defisit adalah 2.8%.

“Malah, menjelang 2022 kita akan menjuruskan kepada bajet yang berimbang, tidak disebut langsung selepas tahun ini, apa sasaran defisit jangkaan kerajaan PH sebenarnya,” katanya.

Selain itu katanya, banyak bantuan diberi kepada rakyat disifatkan ‘meniru’ apa yang pernah dilaksanakan BN sebelum ini.

Misalnya beri BR1M, tambah kategori bujang tapi kadarnya lebih rendah dari BN, pemberian BR1M kadarnya RM1,000.

“Kalau BN perintah 2018, dah dapat RM2,000. Mungkin tahun ini lebih tinggi ikut kepada kemampuan kita,” katanya. – Sinar Harian

Loading...