Belanda, Rusia Bincang Kes Pesawat MH17

AMSTERDAM – Kerajaan Belanda yakin Rusia dijangka bersedia mengadakan perbincangan tidak lama lagi, mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden pesawat MH17 pada 2014.

Pasukan siasatan antarabangsa yang diketuai oleh Belanda memutuskan bahawa pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu, ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia.

Namun, Moscow menyangkal sebarang pembabitan dalam kejadian itu.

“Kami sudah menghubungi Rusia menerusi saluran diplomatik atas dasar tanggungjawab bersama.

“Kami yakin perbincangan dengan pihak Rusia dapat diadakan dalam masa terdekat,” kata jurucakap Kementerian Luar Belanda.

Pesawat MH17 ditembak jatuh dalam wilayah yang dikuasai puak pemisah pro Rusia di timur Ukraine pada Julai 2014, mengakibatkan 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Kira-kira dua pertiga daripada mereka adalah rakyat Belanda.

Pada Mei 2018, Kerajaan Belanda dan Australia berkata, mereka mahu Rusia bertanggungjawab terhadap kejadian itu, selepas penyiasat berjaya mengesan sistem peluru berpandu BUK digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17.

Sistem itu didakwa digunakan oleh briged anti pesawat ke-53, yang berpangkalan di Kursk, barat Rusia.

Bagaimanapun, Presiden Vladimir Putin, menolak dakwaan bahawa pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia. – Reuters

Loading...