Belanda Bina Ladang Terapung Pertama Di Dunia

INOVASI… Ladang tenusu luar pesisir pertama di dunia bakal dibuka di Rotterdam, Belanda yang bermatlamat untuk bantu bandar itu menghasilkan…

INOVASI… Ladang tenusu luar pesisir pertama di dunia bakal dibuka di Rotterdam, Belanda yang bermatlamat untuk bantu bandar itu menghasilkan sendiri lebih banyak makanan secara mampan.

Namun, timbul persoalan, bolehkah ladang canggih seumpama itu berupaya dalam penghasilan bekalan makanan yang cukup bagi memenuhi permintaan tinggi penduduk bandar yang semakin meningkat pada setiap masa?

Beladon, sebuah syarikat hartanah yang berpangkalan di Belanda, dilaporkan bakal melancarkan ‘ladang terapung’ – iaitu yang pertama seumpamanya di dunia – di pusat pelabuhan Rotterdam, lapor agensi berita antarabangsa BBC.

Syarikat itu sudah bangunkan sebuah pusat luar pesisir di tengah-tengah pelabuhan Merwehaven di bandar itu. Ia akan diguna untuk ternak 40 lembu Meuse-Rhine-Issel dan dilengkapi dengan robot bagi pemerahan susu lembu.

Kawasan bandar mungkin lokasi yang kurang sesuai untuk tempatkan ladang tipikal, namun ladang terapung ini dapat kurangkan jarak perjalanan untuk hantar makanan dari ladang sehingga ke meja makan para pelanggan.

Ia munasabah dari segi sekitaran kerana dapat elak pencemaran pengangkutan. Jika jumlah penduduk dunia diramal naik kepada 9.8 bilion menjelang 2050, 70 peratus dijangka tinggal di bandar; berbanding kini 55 peratus.

Justeru, ladang bandar – dengan tumbuhan ditanam dalam rak diletak di bawah lampu ultraunggu – semakin perlu. Ladang Beladon, setinggi tiga tingkat dan berlabuh di dasar laut, dijangka dibuka menjelang akhir tahun ini.

Ia berupaya hasil sekitar 800 liter susu setiap hari. Peter van Wingerden, jurutera di Beladon, mendapat ilham bagi projek itu pada 2012 ketika di New York, Amerika Syarikat semasa selia projek perumahan terapung Sungai Hudson.

Pada mulanya, ramai jurutera antarabangsa yang menganggap idea beliau sebagai “ganjil, lucu atau tidak munasabah” tetapi sekarang mereka sudahpun mula menerima idea tersebut, lapor BBC memetik beliau berkata.

“Dengan permintaan yang semakin meningkat bagi makanan lebih sihat, pembandaran yang kian berkembang dan perubahan iklim, kita tidak boleh lagi bergantung kepada sistem-sistem penghasilan makanan era yang lalu.”

“Sekurang-kurangnya 80 peratus daripada makanan yang diberikan kepada lembu diternak itu adalah sisa hasil industri makanan Rotterdam sendiri yang boleh dikitar semula,” kata pengurus besar ladang itu, Albert Boersen.

Apabila ia mula beroperasi kelak, ladang tenusu berkenaan juga akan menghasilkan selain mempasteurkan susu dan yogurt serta menjual produk itu di seluruh Rotterdam. Ia juga akan menghasilkan dan menjual bajanya sendiri.

Ketua pasukan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa Bersatu, Dr. Fenton Beed, berkata ladang bandar adalah berfaedah kerana ia tidak guna terlalu banyak air, baja dan racun perosak berbanding sistem biasa.

Namun, beliau juga akur bahawa ruang yang terhad mungkin akan menghambat usaha penghasilan jumlah makanan yang mencukupi bagi memenuhi permintaan penduduk bandar yang kian meningkat.

Peter dan isterinya, Minke van Wingerden, yang juga adalah rakan niaganya sedang meninjau-ninjau peluang untuk membangunkan lebih banyak ladang terapung di merata negara itu dan juga di Asia, menurut laporan BBC.

“Kami berharap untuk bangun lebih banyak ladang terapung, namun kami juga mengalu-alukan orang lain yang ingin ikut jejak langkah kami atau cipta konsep bagi sumbang kepada matlamat tersebut,” kata beliau lagi.

“Penghasilan makanan yang sihat dan dalam kuantiti mencukupi adalah kunci bagi mewujudkan sebuah dunia yang lebih baik, bersih dan selamat.” – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...