Beku Akaun UMNO Tunjuk Sikap Sebenar Kerajaan PH

TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun UMNO di ambang pemilihan calon parti tersebut jelas menunjukkan sikap sebenar Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang cuba melumpuhkan UMNO.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bertegas membantah tindakan SPRM yang telah membekukan akaun UMNO, dianggap satu tindakan melampau yang langsung tidak mencerminkan Kerajaan PH kononnya berpaksikan keadilan dan kebebasan.

“Tindakan ini hanya akan menggambarkan sikap sebenar Kerajaan PH yang rakus untuk melumpuhkan kekuatan parti UMNO, yang kini masih merupakan parti tunggal terbesar yang mewakili suara Melayu Islam dalam Dewan Rakyat.

“Di era Kerajaan Barisan Nasional, tidak pernah Kerajaan sesuka hati membekukan akaun parti lawan walaupun para pemimpin mereka berdepan atau disabitkan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah,” kata Asyraf menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Beliau juga menyifatkan tindakan ini itu seolah-olah mahu membuli parti lawan yang tidak sehaluan.

Katanya, SPRM seharusnya dapat memberikan justifikasi yang jelas, telus dan terbuka tentang punca sebenar akaun UMNO dibekukan.

“Lazimnya dalam operasi-operasi sebelum ini, SPRM menjelaskan bahawa risikan dan intipan berbulan-bulan telah dilakukan sebelum sesuatu langkah pembekuan dibuat.

“Sebaliknya ahli UMNO tidak pernah maklum bahawa berlakunya sebarang proses siasatan yang melibatkan perlanggaran undang-undang dalam aktiviti akaun rasmi UMNO,” ujarnya.

Mengulas lanjut, pembekuan tersebut bukan sahaja akan menganiayai pekerja-pekerja parti yang akan menerima kesan terhadap pembayaran gaji bulanan mereka, malah boleh merencatkan operasi parti yang bergerak secara sah dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi bebas.

Pemuda UMNO juga mendesak SPRM menarik balik tindakan pembekuan akaun UMNO kerana siasatan masih boleh dilakukan tanpa perlu menganiayai operasi parti yang sah dalam amalan demokrasi Malaysia Baharu.

“Dengan ini Pergerakan Pemuda UMNO memohon SPRM memberikan pertimbangan khas segera untuk perbelanjaan operasi harian seperti pembayaran gaji petugas UMNO dan lain-lain aktiviti yang bersifat ordinary course of business dibenarkan melalui akaun-akaun yang dibekukan ini.

“Sebarang siasatan yang telus dan berlandaskan kedaulatan undang-undang sebagaimana yang sering dicanangkan oleh Kerajaan PH sangat dialu-alukan.

“Pemangku Presiden dalam konteks ini, sudahpun memberikan jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak SPRM,” katanya lagi. – Mynewshub.tv

Loading...