Bekerja Sendiri Boleh Carum PERKESO Mulai Esok

40

KUALA LUMPUR – Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) diperluaskan kepada 19 sektor tidak formal lain di seluruh negara, berkuat kuasa esok.

Inisiatif itu dijangka memanfaatkan kira-kira 2.8 juta orang bekerja sendiri (OBS) yang mempunyai taraf warganegara atau pemastautin tetap Malaysia tanpa mengira had umur, sekali gus membolehkan mereka mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Langkah memperluaskan skim itu dilaksana susulan Perintah Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Pindaan Jadual Pertama) 2019 dalam warta Kerajaan Persekutuan, PU (A) 374/2019.

PERKESO menjelaskan, caruman berupaya dibuat pada kadar serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan, justeru OBS boleh mendaftar secara dalam talian menerusi pautan https://matrix.perkeso.gov.my atau bayaran tunai di mana-mana pejabat PERKESO.

“Bayaran caruman adalah secara prabayar dan OBS akan terus mendapat perlindungan SKSPS seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, faedah pendidikan serta kemudahan pemulihan jasmani, vokasional termasuk kembali bekerja (RTW).


“Skim ini meliputi 19 sektor tidak formal iaitu perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan, pertanian, pengambilan hasil hutan, perikanan, penyediaan dan penjualan makanan, aktiviti pengilangan produk, kerja pembinaan, menjaja atau berniaga.

“Malah, perkhidmatan premis penginapan, perniagaan dalam talian, perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat, perkhidmatan pengumpulan dan pemproses data, perkhidmatan ejen, perkhidmatan profesional, khidmat sokongan persendirian, aktiviti persembahan, perfileman, karya seni dan grafik, perkhidmatan penjagaan, perawatan dan pemulihan kesihatan serta perkhidmatan isi rumah turut disenarai dalam skim ini,” katanya. – BH Online