Bekas Tahanan POCA Maut Ditembak

SHAH ALAM – Seorang bekas tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA) maut ditembak di rumahnya di Jalan Morib, Tongkah, Banting dekat sini, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa yang berumur 34 tahun baru sahaja pulang ke rumahnya kira-kira setengah jam sebelum kejadian.

“Mangsa baru sampai ke rumahnya pada 1.30 petang tadi dan kira-kira setengah jam kemudian, dua orang datang ke rumah mangsa menaiki motosikal.

“Seorang daripada mereka yang memakai topi keledar dengan pengadang gelap kemudian masuk ke dalam rumah dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadzil berkata mangsa dikatakan baru keluar daripada pusat pemulihan khas, Kompleks Penjara, Pokok Sena, Kedah selepas ditahan di bawah tindakan POCA selama tiga tahun.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya – BERNAMA