Bekas Setpol Mat Sabu Pertimbang Representasi

KUALA LUMPUR – Bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang berdepan lima pertuduhan kes rasuah berjumlah RM6.35 juta mempertimbangkan untuk mengemukakan representasi bagi menyemak semula pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Ketika sebutan kes kali pertama yang dijadualkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob hari ini, peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili Mohd Azhar Che Mat Dali, 49, berkata, pihaknya baharu sahaja menerima beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan.

“Jika melihat kepada dokumen berkaitan kes itu, kami boleh majukan untuk representasi, kami akan kemukakan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Natrah Fareha Rahmat berkata, pihaknya belum menyerahkan dokumen antaranya berkaitan kontrak projek berkenaan kerana ia masih perlu diperhalusi.

“Kami mohon agar mahkamah dapat memberi masa dalam tempoh sebulan, sebelum keseluruhan dokumen iaitu melibatkan lebih kurang 30 dokumen diserahkan kepada pihak pembelaan,” katanya.

Rozina kemudian menetapkan 11 Januari tahun depan untuk sebutan bagi serahan dokumen tersebut.

Pada 15 Oktober lalu, Mohd Azhar, 49, didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Senggaraan Bagi Peralatan Perisikan Kementerian Pertahanan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kampung Baru di sini pada 22 Julai 2019.

Bagi empat pertuduhan, Mohd Azhar didakwa menerima suapan berjumlah RM1.35 juta daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd, Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, antaranya di parkir kediaman rasmi Menteri Pertahanan di sini antara September 2019 dan Februari 2020.

Semua pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Azhar didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM130,000 daripada sebuah syarikat kontraktor, tahun lepas.

Ketika ditemui selepas prosiding berakhir, Natrah Fareha berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam ke Mahkamah Sesyen di sini, esok. – Sinar Harian