Bekas Setiausaha Politik Bakal Didakwa Rasuah

KUALA LUMPUR – Bekas setiausaha politik bekas menteri akan didakwa di mahkamah kerana dipercayai terbabit dengan kes rasuah berjumlah kira-kira RM5 juta berhubung tender projek di sebuah kementerian.

Sumber berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikatakan bakal berdepan dengan beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di Mahkamah Kuala Lumpur pada 15 Oktober ini.

“Suspek juga dijangka didakwa di Mahkamah Shah Alam pada 23 Oktober ini atas kesalahan sama dengan beberapa pertuduhan lagi.

“Suspek dipercayai membantu syarikat kontraktor mendapatkan projek kementerian itu dan menerima suapan daripada beberapa individu menerusi beberapa transaksi,” katanya ketika dihubungi, hari ini. 

Sementara itu Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi, mengesahkan perkara terbabit.

Beliau mengesahkan tiga lagi pegawai kanan agensi di bawah kementerian itu yang disiasat sebelum ini dalam kes sama turut akan didakwa dalam masa terdekat kerana menerima rasuah. – myMetro Online

Loading...