Bekas Raja Dadah Colombia Dedah Operasi Ganas Kartel

SEORANG saksi kerajaan dalam perbicaraan raja dadah Mexico, Joaquin “El Chapo” Guzman mendedahkan dengan terperinci realiti operasi penyeludupan dadah, tanpa menunjukkan ragu-ragu atau bersalah.

Bekas pengedar dadah Colombia, Juan Carlos Ramirez Abadia disoal semasa soal balas oleh seorang peguam Guzman semalam sama ada dia ada mengarahkan puluhan pembunuhan, menyimpan rekod bayaran pembunuh upahan dan menipu serta merasuah pihak berkuasa Colombia dengan jutaan dolar untuk kekal beroperasi.

Antara jawapan yang dijawab dengan mudah olehnya melalui juru bahasa Sepanyol: “Ya betul.” “Sudah tentu.” “Masa itu, memang saya menipu.” “Begitulah keadaannya, tuan.”

Testimoni oleh Ramirez Abadia ini, yang diketahui mengubah rupanya dengan drastik melalui pembedahan plastik, hadir pada minggu ketiga perbicaraan di Brooklyn, New York.

Menurut peguam Guzman, saksi ini sebahagian pekerja tahap rendah yang bekerjasama memburukkan anak guam mereka untuk bebas daripada kes penyeludupan dadah mereka.

Ramirez Abadia memberi keterangan bagaimana organisasinya, kartel Norte del Valle menggunakan beberapa buah pesawat dan bot untuk menyeludup bertan kokain ke Mexico, yang kemudian diseludup oleh kartel Sinaloa ke Amerika Syarikat di bawah arahan Guzman dan lain-lain.

Pendakwa berkata jumlah amat besar dadah dan wang tunai bergerak keluar masuk AS sepanjang tahun 1990-an dan awal 2000-an didokumenkan seperti perniagaan biasa.

Pendakwa William Purpura cuba memberi gambaran keganasan perdagangan dadah ini dengan meminta Ramirez Adadia mengesahkan rekod bayaran pembunuh upahan – AS$45,000 untuk membunuh tiga orang dan AS$338,776 dalam satu kes lain, katanya kerana ramai pembunuh terlibat.

Ramirez Adadia juga menceritakan satu kejadian sekumpulan ahli kartel yang belot diajak ke mesyuarat dan diserang hendap, dan mayat mereka kemudian diangkut dengan trak pikap.

Ramirez Adadia melarikan diri ke Brazil setelah mendapat tahu dia akan didakwa. Di sana, dia menjalani pembedahan untuk mengubah wajahnya.

Bekas raja dadah ini turut menggunakan banyak pengenalan palsu untuk menyembunyikan identiti, yang akhirnya gagal. – Agensi

Loading...