Bekas Penyelia Denda RM5,000 Memandu Bahaya

KUALA LUMPUR – Seorang bekas penyelia keselamatan dipenjara sehari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan remaja perempuan menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) selepas mengalami kecacatan kekal akibat kecederaan di kepala, tahun lepas.

Majistret M. Saravanan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Kamil Mokhtar, 60, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini.

Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, Mohd Kamil juga mengucapkan terima kasih kepada Majistret.

“Syukur…Alhamdulilah terima kasih yang arif,”katanya dalam keadaan sebak.

Lelaki itu didakwa telah memandu kereta dengan melulu dan membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain sehingga menyebabkan kecederaan kepada pembonceng remaja perempuan berumur 16 tahun, di Jalan Wangsa Maju di sini pada 1.15 tengah hari 22 Nov 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 dan hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Abdullah Khazali memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran, bagaimanapun Mohd Kamil yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia adalah penanggung tunggal keluarga dan mempunyai seorang anak yang masih bersekolah.

“Saya ada seorang anak berusia sembilan tahun, malah saya juga mengidap penyakit kencing manis, gout dan kolestrol…saya juga insaf,”katanya.

Menurut fakta kes, mangsa yang membonceng motosikal bersama abangnya telah dilanggar oleh sebuah kereta di lampu isyarat secara tiba-tiba di Jalan Wangsa Maju menghala ke Genting Kelang.

Berikutan kejadian tersebut, mangsa menjadi OKU selepas mengalami kecederaan di kepala dan kecacatan kekal manakala abangnya mengalami luka di badan. – BERNAMA

Loading...