Bekas Penguat Kuasa MPKj Didakwa Rasuah Rumah Urut

SHAH ALAM – Seorang bekas pembantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada daripada pengusaha sebuah rumah urut, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Shah Rizal Ismail Basha, 40, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Shah Rizal sebelum ini dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir pada prosiding dijalankan pada 29 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang kini penganggur didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada Wong Chee Keong sebagai dorongan bagi membantu mendapatkan lesen perniagaan bagi syarikat JJ Harmony Spa.

Manakala, bagi dua pertuduhan lain, Shah Rizal didakwa menerima suapan itu daripada individu berkenaan bagi tujuan sama.

Ketiga-tiga perbuatan tersebut dilakukan di syarikat JJ Harmony Spa, Taman Anggerik Perdana, Semenyih, antara 12 Mei hingga 6 Jun 2016.

Justeru, bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika.

Pegawai Pendakwa SPRM, Michael Joimin memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Shah Rizal yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon pengurangan kerana mempunyai tanggungan seorang isteri, ibu dan dua anak.

“Saya kini juga tidak bekerja dan tiada pendapatan tetap selain mengidap penyakit darah tinggi dan masih menerima rawatan di sebuah hospital,” katanya.

Rozilah kemudian membenarkan jaminan tertuduh berjumlah RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh membayar wang jaminan tersebut dan sebutan semula kes ditetapkan pada 30 April depan.

Kosmo! pada 29 Mac lalu melaporkan Ketua Balai Polis Kajang dan seorang pegawai bomba dan penyelamat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas lima pertuduhan menerima suapan daripada pengusaha sebuah rumah urut, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Inspektor Mohd Alfian Mohd. Zainal, 34, dan Shah Kamil Ghani, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad. – K! ONLINE

Loading...