ALOR SETAR – Seorang bekas pengetua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) iaitu Maktab Mahmud di Pendang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa melibatkan projek penyelenggaraan sekolah itu berjumlah RM23,763 pada 2015 dan 2016.
Tertuduh Rafida Ramli, 46, yang kini telah berpindah ke Maktab Mahmud di sini sebagai guru biasa membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azman Abu Hassan selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa kepadanya.
Mengikut pertuduhan pertama, Rafida didakwa menggunakan jawatannya ketika itu menyokong ‘Borang Permohonan Pembelian dan Pembaikan – Kerja Pendawaian Elektrik di Asrama MMPG 2015’ bernilai RM1,240 oleh Perniagaan MZ Nadi Cahaya Enterprise.
Syarikat itu merupakan milik adik lelakinya Mohd Zuhdi, 30. Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Maktab Mahmud Pendang, Kampung Penyarum pada 13 Jan 2015.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua Rafida didakwa berbuat demikian dengan menyokong ‘Borang Permohonan Pembelian dan Pembaikan – Kerja Baik Pulih Pendawaian Elektrik di Asrama MMPG’ berjumlah RM365 oleh syarikat sama pada 22 Mac 2015 di lokasi sama.
Pertuduhan ketiga pula bekas pengetua itu dituduh melakukan perbuatan sama dengan menyokong ‘Borang Permohonan Pembelian dan Pembaikan – Membaik pulih Pendawaian Asrama MMPG’ bernilai RM3,075 oleh Perniagaan Alir Kuasa Enterprise pada 6 April 2016 di lokasi sama.
Adik lelakinya itu mempunyai kepentingan secara tidak langsung dengan syarikat itu kerana syarikat itu telah digunakan Mohd Zuhdi.
Seterusnya untuk pertuduhan keempat pula Rafida didakwa berbuat demikian menyokong ‘Borang Permohonan Pembelian dan Pembaikan – Membekal dan Memasang Kipas Siling Serta Pendawaian’ berjumlah RM4,400 oleh syarikat sama pada tarikh dan lokasi sama seperti pertuduhan ketiga.
Pertuduhan kelima pula dia dituduh menyokong ‘Borang Permohonan Pembelian Dan Pembaikan – Kerja Pendawaian Elektrik Asrama Putera dan Puteri MMPG’ bernilai RM6,074 oleh syarikat sama pada 9 Jun 2016 di lokasi sama.
Dalam pada itu, bagi pertuduhan keenam pula Rafida didakwa melakukan tindakan sama dengan menyokong ‘Borang Permohonan Pembelian dan Pembaikan – Kerja Pendawaian Elektrik Blok Akademik MMPG’ berjumlah RM3,365 oleh syarikat sama pada 12 Jun 2016 di lokasi sama.
Pertuduhan ketujuh pula dia dituduh berbuat demikian menyokong ‘Borang Permohonan Pembelian dan Pembaikan – Kerja Membaik Pulih Dan Pendawaian Baru Untuk Bengkel KHB, Blok Akademik dan Kantin MMPG’ bernilai RM5, 244 oleh syarikat sama pada 18 Julai 2016 di lokasi sama.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan berkenaan dengan seorang penjamin dan hakim menetapkan 1 Nov depan untuk sebutan semula kes.
Sehubungan itu, Rafida yang hadir ke mahkamah ditemani suaminya, Ahmad Yahaya merupakan Ketua Penerangan PAS Kedah yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Alor Mengkudu didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan dia boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM negeri Syahrul Khuzaini Amiruddin manakala tertuduh diwakili Peguam Ahmad Taufiq. – BERNAMA