Bekas Pengarah AIAC Didakwa Pecah Amanah

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Datuk Profesor Dr. N.Sundra Rajoo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas tiga pertuduhan pecah amanah dana AIAC lebih RM1 juta tiga tahun lalu.

Sundra, 63, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa sebagai Pengarah AIAC yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana AIAC telah melakukan pecah amanah berkaitan harta tersebut berjumlah RM1,011,367.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat AIAC, Bangunan Sulaiman, Jalan Sultan Hishamuddin di sini antara 8 Disember 2016 hingga 17 Ogos 2018.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Loading...