Bekas Pegawai Menteri ‘Skodeng’ Pun Belum Didakwa – Najib

BEKAS perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik perhatian kepada beberapa kes yang belum didakwa selepas siasatan dilancarkan, antaranya kes seorang bekas pegawai timbalan menteri didakwa mengintai bawah kain seorang wanita.

Bekas perdana menteri mengingatkan kes tersebut ada bukti video dan pengakuan mangsa.

“Setelah 10 bulan pun belum didakwa oleh kerajaan Pakatan Harapan,” katanya di Facebook.

Pada September tahun lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman memecat seorang pegawainya yang didakwa merakam bawah kain seorang wanita menggunakan telefon bimbit di sebuah kedai cermin mata di ibu negara.

Kejadian itu dirakam oleh CCTV kedai itu, dan tular di media sosial. Lelaki kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Selain kes itu, Najib menyorot perhatian kepada kes seorang ketua polis Jerantut didakwa diugut seorang pengerusi DAP bahagian menerusi WhatsApp.

Kejadian itu dipercayai susulan operasi membanteras penjualan minuman keras tanpa lesan di Jerantut, Pahang.

Najib berkata kes itu ada bukti bertulis dan laporan polis.

“Tiada dakwaan selepas 2 bulan ‘menyiasat’,” katanya.

Najib berkata demikian susulan kes seorang exco Perak yang didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia baru-baru ini.

Bekas perdana menteri berkata exco berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis.

Najib berkata keadaan ini berbeza dengan apa yang dihadapi Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang didakwa di mahkamah atas tuduhan mengaibkan maruah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Najib, Azri ditangkap, direman 3 hari dan didakwa di mahkamah 12 hari selepas itu.

“Kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ‘terowong ajaib’ yang membutirkan rasuah besar pemimpin DAP terbongkar dan disebar secara meluas, tetapi diabaikan oleh kerajaan PH begitu sahaja,” katanya.

Najib merujuk kepada gambar-gambar dokumen yang dimuatnaik di satu laman web popular pada Februari, dikatakan kenyataan seorang saksi kepada SPRM dan didakwa mengenai rasuah dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata, SPRM membuat laporan polis pada 28 Februari dan perkara berkenaan sedang disiasat.

‘Rule of law’,” kata Najib. – FMT

Loading...