Bekas Pegawai Khas Najib Terkejut Ada AS$884,996 Dalam Akaun

KUALA LUMPUR – Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sangat terkejut apabila dimaklumkan sejumlah AS$884,996.78 ada di dalam akaun BSI Switzerland miliknya awal 2016 tetapi beliau tidak pernah menggunakan wang itu dan tidak tahu apa status wang tersebut sehingga kini kerana ianya diuruskan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, ketika membacakan penyataan saksinya berkata, beliau menerima panggilan daripada BSI Switzerland di mana seorang pegawai BSI bertanyakan sekiranya beliau mengetahui baki akaunnya.

“Saya memberitahu saya tidak tahu. Dia memberitahu saya bahawa terdapat AS$884,996.78 di dalam akaun saya. Saya berasa sangat terkejut kerana tidak tahu apa-apa berkaitan wang ini. Saya meminta pegawai bank tersebut memberi pandangan mengenai kemasukan wang ke dalam akaun tersebut, namun pegawai bank itu hanya menyatakan akan menghubungi saya semula.

“Pada satu masa yang lain pula, saya dihubungi pegawai dari BSI dan memaklumkan bahawa hubungan saya dengan bank itu akan ditamatkan dan saya dikehendaki memindahkan wang itu sama ada kepada satu syarikat bawah nama saya atau akaun lain di bawah nama saya. Saya telah merujuk perkara ini kepada Jho Low kerana pada waktu itu memang ada arahan untuk berhubung dengan beliau (Jho Low) sekiranya terdapat apa-apa persoalan mengenai akaun itu,” katanya.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib pada hari keempat perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Kata saksi itu, Jho Low kemudian mengarahkannya untuk membuka akaun bank di Shanghai memandangkan dalam tempoh itu memang ada urusan di China dan terdapat keperluan untuk ke sana.

Amhari Efendi menjelaskan bahawa Jho Low telah membantu secara peribadi untuk membuka akaun tetapi permohonan pembukaan akaun itu tidak berjaya.

“Dia (Jho Low) tidak memberitahu sebab apa akaun tersebut tidak berjaya dibuka. Kemudian beliau mengarahkan saya ke Bangkok bagi membuka akaun di Kasikorn Bank.

“Proses pembukaan akaun ini telah dibantu seorang warga Thai bernama Oada yang merupakan kenalan Jho Low dan bukan pegawai bank tersebut dan namanya saya tidak ingat. Akaun bank di Bangkok itu telah berjaya dibuka pada masa itu juga.

“Apabila akaun bank di Bangkok ini berjaya dibuka, semasa satu lawatan kerja saya di Dubai, pada 28 September 2016, saya menghantar satu surat ke BSI Switzerland melalui faks Hotel Shagri-La Hotel, Dubai untuk memindahkan wang dalam akaun BSI ke akaun Kasikorn Bank dan menutup akaun BSI tersebut,” katanya sambil menambah Jho Low yang mengarahkannya untuk tidak menghantar melalui faks menggunakan nombor Malaysia.

Saksi itu berkata, beliau berbuat demikian atas arahan yang diterimanya daripada BSI untuk memindahkan wang dalam akaun BSI atas namanya ke akaun miliknya yang lain.

“Namun saya dimaklumkan oleh BSI kemudiannya iaitu lebih kurang sehari atau dua hari selepas itu bahawa pemindahan wang tersebut tidak berjaya serta dimaklumkan ia ditangguhkan sementara dan pegawai bank akan menghubungi saya semula sekiranya ada apa-apa perkembangan.

“Saya ada maklumkan perkara ini kepada Jho Low dan beliau memberitahu saya beliau akan menyelesaikan masalah ini bagi pihak saya. Sehingga kini saya tidak tahu apa yang berlaku ke atas wang di dalam akaun tersebut,” katanya.

Amhari Efendi bagaimanapun berkata beliau tidak pernah mengeluarkan wang dari akaun berkenaan untuk kegunaan peribadi atau dipindahkan kepada mana-mana akaun miliknya mahupun akaun milik pihak lain kerana akaun itu diuruskan sepenuhnya oleh Jho Low.

“Saya juga tidak berani bertanya kepada Najib berkaitan wang yang terdapat di dalam akaun itu. Datuk Azlin (Datuk Azlin Alias Ketua Setiausaha Sulit Najib ketika itu) juga sebelum ini tidak berani tanya dan saya ingat pesanan beliau bahawa akaun ini bukan sahaja untuk tujuan dana politik tetapi sekiranya saya mempersoalkan sesuatu yang cukup rahsia seperti ini atau tidak bersetuju mengenainya, ia boleh membawa kepada ancaman kerja atau kedudukan saya,” katanya.

Beliau berkata, secara amnya pegawai-pegawai di Pejabat Perdana Menteri tidak pernah dan tidak boleh mempersoalkan mengenai dari mana sesuatu dana itu diterima oleh Najib kerana ia akan dilihat sebagai tidak percaya kepada kredibiliti beliau.

“Saya percaya memang ada dana yang datang dari Jho Low kerana sebelum PRU13, Jho Low ada memberitahu saya dan Datuk Azlin mengenai dana yang hendak digunakan bagi pilihanraya bagi memenangi undi majoriti di Pulau Pinang.

“Bagaimanapun Jho Low tidak pernah menerangkan cara bagaimana dia mendapatkan wang tersebut. Sehingga kini, saya tidak tahu apa-apa berkenaan status wang yang ada di dalam akaun tersebut kerana ia masih dikawal oleh Jho Low,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.