Bekas Konsul Dijel Bunuh Pewaris Bilionair Monaco

AIX-EN-PROVENCE – Mahkamah Perancis menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap bekas konsul kehormat Poland di Monaco atas kesalahan mengarahkan pembunuhan ibu bekas pasangannya, pewaris bilionair Helena Pastor.

Pastor, 77, dan pemandu beliau ditembak mati dalam kereta di bandar Nice, Perancis pada 6 Mei 2014.

Pembunuhan itu menggemparkan negara bandar kecil Monaco di mana keluarga Pastor membina portfolio hartanah membabitkan kira-kira 4,000 apartmen dengan nilai harta kira-kira 12 bilion euro (RM58.22 bilion).

Wojciech Janowski mengaku mengupah pembunuh, selepas ditahan, namun kemudian menarik balik pengakuan, sebelum kembali mengakui kesalahan pada penghujung perbicaraan, Selasa lalu.

Penembak Samine Said Ahmed dan rakan subahatnya Al Hair Hamadi yang bertindak sebagai pemerhati juga dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Anak lelaki Pastor, Gildo Pallanca-Pastor menyifatkan hukuman terhadap Janowski sebagai ‘hukuman teladan’.

“Saya yakin Wojciech Janowski bersalah. Saya lega juri tidak tertipu dengan penyesalan saat-saat akhir tertuduh,” katanya.

Janowski turut memohon maaf kepada bekas pasangannya, anak Pastor, Sylvia dan anak-anak mereka, semalam.

Peguam tertuduh, kelmarin mendakwa suspek hanya cuba melindungi pasangannya Sylvia Rat kowski daripada ibunya yang mendatangkan penderitaan kepada hidup dan mendakwa beliau tidak mengarahkan pembunuhan pemandu mangsa.

Namun, pendakwa raya berhujah bahawa Janowski hanya mahu mengambil sebahagian harta Pastor. – AFP/BH ONLINE

Loading...