Bekas Ketua Hakim Persoal Kelemahan Tommy Thomas

PEGUAM Negara Tommy Thomas telah dikecam banyak pihak ekoran tindakannya melantik peguam Sulaiman Abdullah dan bekas hakim Golal Sri Ram sebagai pendakwa dalam kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kecaman terbaru menambahkan lagi tekanan ke atas beliau, apabila bekas ketua hakim Tun Abdul Hamid Mohamad mempersoalkan lantikan peguam dari luar pejabat peguam negara itu.

Dalam tulisan di blog, Abdul Hamid bertanya “adakah Thomas takut kerana beliau tidak ada pengalaman dalam pendakwaan?”

Tambah Abdul Hamid lagi, kes ini bukan kes mudah yang boleh dikendalikan oleh seorang yang baru belajar mendakwa.

Thomas melantik Sulaiman sebagai ketua pasukan pendakwa pada 31 Ogos lalu.

Lantikan sebegitu yang pertama kali berlaku itu, menurut Abdul Hamid, memberi gambaran yang Thomas tidak mampu mengendalikan kes itu yang merupakan sebahagian tugasnya sebagai peguam negara.

Abdul Hamid turut mempersoalkan kemampuan Sulaiman mengendalikan kes itu yang dijangka berlarutan lama ekoran tahap kesihatannya, selain kekurangan pengalaman mengetuai kes jenayah seperti itu.

Thomas, menurut Abdul Hamid, mempunyai lapan bulan untuk persediaan menghadapi kes ini, tidak seperti pihak lain yang mempunyai masa hanya sekitar sebulan.

Bekas ketua hakim itu juga mempersoalkan pelatikan Sri Ram sedangkan Thomas selaku peguam negara yang patut mengkaji dokumen pendakwaan tersebut.

Semasa dilantik, kelayakan Thomas dikaitkan dengan kemampuannya untuk menangani pendakwaan kes berkaitan 1MDB bekas perdana menteri.

Satu alasan yang banyak dikemukakan ialah beliau satu-satunya peguam yang layak untuk menguruskan kes terhadap bekas perdana menteri dan pakar dalam hal 1MDB. – Mynewshub.tv