Bekas Jurulatih Badminton Jepun, Izuan Ibrahim Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR – Jurulatih badminton yang pernah membawa Jepun muncul juara Piala Thomas 2014 termasuk membimbing Kento Momota, Izuan Ibrahim menghembus nafas terahirnya, di Kelantan malam tadi.

Lebih menyedihkan Allahyahram yang terlantar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak 19 Disember lalu, sepatutnya memulakan tugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 1 Januari ini namun hasrat itu kini tidak kesampaian.

Allahyarham diberi bantuan pernafasan dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) apabila dikesan mengalami pendarahan otak selepas muntah-muntah akibat migran sebelum didapati tidak sedarkan diri.

Menurut Presiden Persatuan Badminton Perlis (PBPs), A’amar Hashim, Malaysia kehilangan jurulatih yang sangat komited dengan kerjayanya.

“Izuan seorang jurulatih badminton terbaik yang saya kenal. Hasrat beliau untuk bersama skuad remaja negara tidak kesampaian namun jasa dan baktinya terhadap sukan badminton akan dikenang sampai bila-bila,” katanya.

Bekas ketua jurulatih Perlis itu sepatutnya memulakan tugas 1 Januari 2020 sebagai jurulatih kumpulan pembangunan dan akan memantau perkembangan pemain tingkatan 1.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu isterinya, Siti Marsyhtah Muhammad dan tiga anak.

Atas rasa keperihatinan, PBPs mewakili pihak keluarga dengan rendah diri ingin memohon semua sama- sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarganya sepanjang urusan di HUSM.

Segala bantuan dan sumbangan boleh dihulurkan melalui akaun bank isteri Allahyarham, akaun Maybank 116015011016 (Siti Marsyhtah Binti Muhammad).

Jenazah akan dikebumikan 12 tengah malam ini di Tanah Perkuburan Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu. – BH Online

Loading...