Bekas Guru Besar Didakwa 8 Tuduhan Pecah Amanah

BUTTERWORTH – Seorang bekas guru besar dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini atas lapan pertuduhan pecah amanah berjumlah RM35,500 dari 2015 hingga 2017.

Tertuduh, Chan Thye Choon, 61, bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Wellesley di George Town itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Bagi tujuh pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM15,500 membabitkan bayaran sewa padang SK Wellesley di sebuah bank, antara 10 November 2015 hingga 8 Disember 2016.

Bagi pertuduhan terakhir, Chan didakwa melakukan pecah amanah melalui penerimaan empat cek berjumlah RM20,000 daripada Syarikat Visi Nusajaya Sdn. Bhd. membabitkan bayaran sewa padang, di sebuah bank di George Town, antara 19 Januari hingga 7 Mac 2017.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum sehingga 20 tahun dan sebat, dan juga dikenakan denda.

Chan turut mengaku tidak bersalah terhadap lapan pertuduhan alternatif melakukan pecah amanah di tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga lima tahun dan sebatan, dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Terdahulu, Chan yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jumlah jaminan yang paling minimum bagi membolehkan dia membayarnya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain tertuduh perlu melapor diri kepada SPRM pada minggu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Loading...