Bekas Exco Beri Keterangan Selepas Polis Buka Semula Kes Beng Hock

19

GEORGE TOWN – Bekas exco Selangor, Ean Yong Hian Wah memberi keterangan selama satu jam di Ibu Pejabat Polis Selangor semalam, selepas kes kematian bekas pembantunya, Teoh Beng Hock dibuka semula.

Ean Yong ketika diambil keterangan menegaskan apa yang dikatakan sebelum ini, dan polis mengkaji semula kenyataannya yang dahulu mengenai Teoh.

“Saya beritahu polis bahawa Teoh seorang saksi, bukan suspek Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sebagai seorang saksi, dia tidak boleh dilayan seperti seorang suspek dan adalah salah dan tidak wajar menahannya hingga tengah malam,” katanya kepada FMT.

“Dari apa yang saya faham, mereka mencari keterangan baru supaya mereka yang bertanggungjawab ke atas kematian Teoh akan dipertanggungjawabkan. Saya gembira mereka buka semula kes itu supaya keadilan ditegakkan.”

Adik Teoh, Lee Lan berkata keluarganya gembira kes itu dibuka semula tetapi tidak mahu ia dikelaskan sebagai penahanan secara salah.

Dia berkata kes itu sepatutnya dikelaskan sebagai bunuh, dan meminta polis menyoal lima pegawai SPRM yang bersama Teoh pada hari kejadian.

Lee Lan menamakan Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail, Hairul Ilham Hamzah, Mohd Ashraf Mohd Yunus dan Zulkefly Aziz.

“Adakah mereka disoal? Kenapa ambil keterangan orang luar seperti Ean Yong dan pihak-pihak lain yang tiada semasa soal siasat Teoh?


“Kami berharap kerajaan kami ini tidak sama seperti kerajaan lepas, dan kerajaan Pakatan Harapan akan menunaikan janji menegakkan keadilan untuk abang saya dan tangkap mereka yang membunuhnya,” katanya kepada FMT.

Lee Lan berkata peguam mereka, Ramkarpal Singh akan mengatur pertemuan dengan ketua polis negara bagi menyampaikan kebimbangan mereka.

Pada 2009, Teoh ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam beberapa jam selepas disoal oleh SPRM Selangor di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan sama.

Suruhanjaya siasatan diraja menyimpulkan Teoh didorong membunuh diri oleh kaedah soal siasat agresif pegawai-pegawai SPRM.

Ia juga menyalahkan tiga pegawai atas kaedah agresif yang menuruntya menyalahi prosedur.

Pada Julai, polis dilaporkan akan patuhi arahan Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas kematian Teoh. – FMT