Bekas CEO SSM Didakwa Subahat Terima Rasuah RM250,000

IPOH – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner hari ini sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan bersubahat menerima rasuah berjumlah RM250,000, tahun lalu.

Zahrah, 60, yang hadir bersama anaknya, Abdulazeez Wan Ruslan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdulazeez yang secara rasuah menerima bagi dirinya satu suapan berjumlah RM200,000 daripada Samhan Adnan secara deposit tunai ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah bagi dirinya kerana telah memastikan dirinya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SSM dan Ahli Jawatankuasa Pelaburan SSM meluluskan Memo Dalaman Bahagian Kewangan dan Akaun, Seksyen Pelaburan dan Pengurusan Kewangan bertajuk Pemilikan Kepentingan Saham Keutamaan ‘Preference Shareholder’ Syarikat Ace Holdings Berhad bertarikh 19 April 2018.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Maybank Islamic Berhad Cawangan Menglembu di No. 8, Jalan Tranchell, Ipoh pada 18 Mei 2018.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa bersubahat menerima suapan sebanyak RM50,000 bagi tujuan sama pada 25 Mei 2018 di tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 28 (1)(C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama subseksyen 16(a)(A) dan subseksyen 24 (1) akta sama boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, Abdulazeez turut mengaku tidak bersalah selepas berdepan dua pertuduhan menerima suapan rasuah berjumlah RM250,000 mengikut kes sama seperti Zahrah pada tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Abdulazeez masing-masing didakwa menerima suapan rasuah bernilai RM200,000 dan RM50,00 untuk tujuan sama pada tarikh dan tempat yang sama.

Bagaimanapun, kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24 (1) akta sama. 

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala kedua-kedua tertuduh diwakili peguam bela Shahir Abdul Razak, Syaiful Nazrin Mohd Rahim, Mohd Faizal Mohd Aris dan Dorina Abdullah.

Terdahulu, Nurul Wahida memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau menerima arahan supaya kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama 33 lagi pertuduhan yang telah dituduh terhadap Zahrah dan empat pertuduhan terhadap Abdulazeez.

Sehubungan itu katanya, pihak pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan supaya kes tersebut dapat dibicara di bawah satu perbicaraan mengikut Seksyen 64 Akta SPRM memandangkan ia melibatkan saksi dan jarak masa yang berdekatan membabitkan kesalahan dilakukan tertuduh.

Mahkamah menerima permohonan itu dan menetapkan kesemua kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.