Bekas Ahli UMNO Tiada Jawatan Hingga PRU-15

PUTRAJAYA – Bekas pemimpin UMNO yang diterima menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak boleh memegang jawatan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai ujian keikhlasan mereka, kata Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengakui tempoh itu lama, namun Perdana Menteri berkata ujian tersebut tidak boleh dipercepat dan hanya mereka yang benar-benar ikhlas serta membuang budaya UMNO, yang sesuai untuk memegang jawatan.

“Kita akan tentukan mereka tidak diberi peluang mengembang fahaman dan cara-cara mereka, iaitu cara UMNO. PPBM bersih dan kita akan tentukan ia terus bersih.

“Yang akan bertukar ialah bekas parti lain. Mereka akan serap budaya kita. Mereka akan bekerjasama dengan kita,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kedua PPBM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Beliau berkata ramai yang tidak senang melihat penerimaan bekas anggota UMNO oleh PPBM kerana bimbang mereka akan membawa masuk budaya UMNO.

Mahathir berkata PPBM tidak mudah menerima bekas anggota UMNO dan menegaskan rekod mereka akan diteliti, selain terdapat syarat lain yang perlu dipatuhi.

“Mesti keluar dari UMNO (dahulu) dan jadi bebas. Sebagai bebas (dan) secara ikhlas sokong Pakatan Harapan dan PPBM.

“Tidak akan ada penerimaan oleh Bersatu sebagai satu kumpulan bekas UMNO. Hanya akan diterima sebagai individu bebas. Rekod akan dikaji dengan teliti,” katanya.

Menurut Mahathir, PPBM akan menjadi pelindung kepada orang Melayu.

Bagaimanapun, katanya parti itu hanyalah pelindung sementara kerana pelindung sebenar ialah orang Melayu itu sendiri. – BERNAMA

Loading...