Bekas Ahli UMNO Keluar Parti Akan Disaman

KOTA KINABALU – Bekas ahli UMNO Sabah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional dalam PRU-14 lepas dan keluar parti itu bakal menerima saman daripada UMNO, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, tindakan undang-undang itu akan diambil terhadap ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertanding dalam pilihan raya umum lepas.

“Tindakan undang-undang itu diambil bukan untuk menghalang keputusan mereka untuk keluar meninggalkan parti kerana itu adalah keputusan dan hak masing-masing.

“Ini bukan soal mereka melompat parti tetapi mereka ada kontrak, menerima dana daripada parti, bantuan tertentu daripada parti untuk mendukung amanah parti termasuk menggunakan lambang parti dengan tandatangan presiden,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama ahli UMNO di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu diambil berdasarkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan proses untuk mengemukakan saman itu akan memakan masa kerana perlu melalui beberapa proses termasuk penyediaan dokumen dan lantikan peguam.

“Beberapa orang telah disaman, yang lain-lain belum lagi bukan bermakna yang belum itu mereka tidak disaman, MT akan buat keputusan dari semasa ke semasa. Jika mereka ‘rujuk’ semula, itu adalah isu yang berlainan, saman tetap ‘jalan terus’,” katanya. – BERNAMA

Loading...