Bekalan Vaksin Meningkat 16 Juta Dos Hujung Julai Ini

KUALA LUMPUR – Pelan Pemulihan Negara dirangka selepas mengambil kira ancaman COVID-19 masih menular dalam komuniti dan bilangan kes aktif yang tinggi di hospital, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, pelan itu adalah panduan dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan semua pihak kembali kepada kehidupan harian biasa.

“Peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung Julai ini serta peningkatan kadar pemberian vaksin harian membuatkan kita lebih yakin untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Negara, hari ini.

Muhyiddin berkata, keadaan ketika ini berbeza berbanding situasi lebih setahun lalu apabila negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali pertama kerana masih belum mempunyai vaksin.

Beliau berkata, satu-satunya jalan keluar ketika itu ialah ‘lockdown’ dan tindakan kesihatan awam bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Ini adalah situasi yang amat menyakitkan kerana kawalan pergerakan yang berterusan memberi kesan kepada kehidupan kita dan kita masih tidak tahu bila dan bagaimana kita boleh keluar daripada masalah ini.

“Namun, hari ini dengan penerimaan bekalan vaksin lebih banyak dan pelaksanaan proses vaksinansi semakin rancak, kita telah dapat melihat sinar lebih terang di hujung terowong.

“Pada permulaan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kadar vaksinasi adalah sekitar 5,000 hingga 8,000 dos sehari dan telah meningkat ke 50,000 hingga 80,000 sekitar Mei lalu.

“Malah, semalam kadar vaksinasi mencecah 197,963 dos dan saya yakin usaha ini akan terus dipertingkatkan hingga lebih 300,000 dos sehari dalam bulan mendatang,” katanya. – BH Online