Beijing Tuduh Washington Pembuli

BEIJING – Amerika Syarikat (AS) dan China berbalas menguatkuasakan tarif ke atas barangan satu sama lain semalam ketika tiada petanda dua ekonomi terbesar dunia itu akan berundur daripada perang perdagangan yang dijangka turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia.

Sejurus selepas tarif baharu itu berkuat kuasa, China menuduh AS sebagai ‘pembuli perdagangan’ dengan Washington menggunakan tarif untuk mengugut negara lain supaya tunduk kepada kemahuannya, lapor agensi berita Xinhua.

Beijing bagaimanapun berkata, ia bersedia untuk memulakan semula rundingan perdagangan dengan AS jika dialog tersebut ‘berdasarkan sikap saling menghormati dan ke­saksamaan’, kata Xinhua.

Tarif AS ke atas produk China bernilai AS$200 bilion (RM826 bilion) dan tarif Beijing terhadap AS$60 bilion (RM247.9 bilion) barangan AS dikuatkuasakan tengah hari semalam menurut waktu Asia.

Washington dan Beijing saling mengenakan tarif berjumlah AS$50 bilion (RM206.6 bilion) ke atas barangan satu sama lain awal bulan ini.

Produk China yang dikenakan cukai import baharu itu termasuk pembersih hampagas dan peralatan sambungan internet, manakala barangan AS yang dicukai Beijing seperti gas asli cecair serta pesawat.

Sementara itu, pakar-pakar ekonomi memberi amaran bahawa perang perdagangan yang semakin buruk itu akhirnya akan melumpuhkan pertumbuhan, bukan sahaja di AS dan China tetapi di seluruh dunia.

Bagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump memilih untuk terus berdegil. Beliau memberi amaran pada Sabtu lepas akan mengenakan tarif ke atas semua barangan China pada masa hadapan jika Beijing bertindak balas terhadap pelaksanaan tarif baharu itu atau gagal memenuhi tuntutan AS.

Import China adalah kurang berbanding AS, menjadikan Beijing sukar mengenakan tarif tambahan ke atas barangan AS lain pada masa hadapan.

Bagaimanapun, penganalisis-penganalisis berkata, China boleh menyekat eksport sesetengah barangan penting kepada AS dan menyukarkan syarikat AS beroperasi di negara itu. – Reuters/BH ONLINE

Loading...