Bebel Adik Jadi Punca Hingga Ke Mahkamah

GARA-GARA bebelan adik perempuannya, seorang wanita bertindak cakar muka wanita itu sehingga berdarah dalam satu insiden perbalahan di sebuah rumah di Kelantan baru-baru ini.

Dalam kejadian di Lorong Tengku Mohani, Kota Bharu, kira-kira pukul 7.25 pagi dua minggu lalu itu, Zarina Setapa, 39, dikatakan tidak berpuas hati terhadap adiknya, Nurul Asyikeen, 29, membebel kepada anak lelakinya.

Ia berhubung satu kes lain membabitkan bapa kanak-kanak itu. Perbalahan mulut antara dua beradik itu seterusnya menyebabkan Zarina bertindak ganas dengan menarik kepala mangsa serta mencakar mukanya sehingga luka.

Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Rabu menetapkan Zarina dihukum denda sebanyak RM1,000 selepas wanita itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya hukuman ringan dikenakan terhadapnya kerana dia sudah insaf dengan perbuatannya.

Bagaimanapun, hukuman itu dikekalkan supaya ia memberi pengajaran kerana sebagai seorang kakak, tertuduh sepatutnya melindungi ahli keluarga.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM1,000 atau penjara selama sebulan sekiranya tertuduh gagal membayarnya. – MYNEWSHUB.CC

Loading...