Bebal Al-Quran Samakan Islam Dengan Agama Lain

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kesal dengan kenyataan-kenyataan tidak baik terhadap agama Islam yang dibuat secara terbuka sejak Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Kata beliau, kenyataan-kenyataan seperti desakan menghapuskan sekolah-sekolah Tahfiz al-Quran, menyamakan Islam dengan agama lain dan mahukan tindakan terhadap Dr. Zakir Naik adalah kerana buta al-Quran.

“Kita tidak boleh menerima kalangan yang buta al-Quran yang lebih bebal daripada buta huruf. Walaupun tidak buta huruf sehingga bijak menggunakan alat-alat kajian dan media terkini yang sangat canggih

‘Ini adalah semuanya tidak berlaku adil secara hujah yang sebenar bagi mencari kebenaran kerana tidak mampu menandingi bahasa al-Quran dan nilai ilmunya yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beberapa pihak selepas Pakatan Harapan menang PRU-14 bagi membentuk kerajaan Persekutuan mendesak supaya sekolah-sekolah Tahfiz Al-Quran di seluruh negara dimansuhkan.

Pihak yang membantah desakan itu pula dikecam sebagai rasis oleh penyokong kerajaan kerana Malaysia hari ini dianggap sebagai ‘Malaysia Baharu’ iaitu semua adalah sama.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P. Ramasamy dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Hindu termasuk Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) pula menuntut kerajaan Pakatan Harapan mengusir dan menghantar pulang Dr. Zakir ke India.

Pengerusi Hindraf ialah P. Waytha Moorthy yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Beberapa menteri kerajaan Pakatan Harapan termasuk M. Kulasegaran, Gobind Singh Deo dan Xavier Jayakumar sebelum ini turut membangkitkan tentang Dr. Zakir dalam mesyuarat Kabinet.

Dr. Zakir dikehendaki oleh kerajaan India kerana kononnya terlibat dalam aktiviti keganasan memperoleh status pemastautin tetap di Malaysia semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau merupakan pakar perbandingan agama dan pendakwah Islam antarabangsa yang berjaya membuat ramai penganut bukan Islam menyakini dan memeluk agama Islam dalam siri ceramah-ceramahnya. – Mynewshub.tv