Bazar Ramadan: NGO Bantah Wajib Mohon Dalam Talian

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Bertindak Bazar Ramadan 2019 hari ini menyerahkan referendum membantah peraturan baru Kementerian Wilayah Persekutuan yang mewajibkan permohonan tempat niaga di bazar Ramadan dibuat dalam talian.

Jurucakap mereka, Gulam Muszaffar meminta Menteri Khalid Samad menimbang semula peraturan tersebut dan mahu persatuan dan NGO yang diberi peranan menganjur seperti di tahun-tahun lepas.

“Untuk makluman Khalid, kami ada alasan kukuh untuk beliau pertimbangkan cadangan kami, antaranya peranan utama yang diberikan kepada kami selaku penganjur adalah disebabkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri mengakui tidak mampu melaksana dan mengawal selia modus operasi baik dari segi pengurusan, keselamatan, kebersihan atau kelancaran operasi harian,” katanya di luar bangunan Parlimen.

Beliau juga berkata perkara berkaitan penganjuran itu termaktub kepada undang-undang atau peraturan ditetapkan pihak DBKL.

Katanya, sebelum ini penganjuran dibenarkan bagi mengelak kewujudan penjaja haram atau “penjaja rambo” yang menimbulkan ketidakadilan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan penjaja.

Beliau juga berkata sekiranya permohonam bazar Ramadan wajib dilakukan dalam talian tahun ini, ia akan menyukarkan proses permohonan, ditambah dengan karenah birokrasi, dan memberi kesempatan kepada orang tengah mengaut keuntungan.

“Di bawah konsep rahmatan lil alamin, kami percaya Khalid, seorang menteri peduli rakyat, dapat menimbang semula permohonan kami.

“Selaku penganjur bazar Ramadan yang 100% orang Melayu dan Islam, diharap urusannya dikekalkan bawah persatuan dan NGO seperti sebelum ini,” katanya.

Referendum diserahkan kepada wakil Khalid pagi tadi.

Khalid dalam sidang medianya kemudian berkata, beliau menerima referendum itu dan akan meneliti permohonan mereka.

Buat masa ini pihaknya mahu mengekalkan permohonan untuk berniaga di bazar Ramadan secara dalam talian.

Ini bagi mengelakkan unsur penipuan dan ada pihak mengambil kesempatan

“Bazar Ramadan dipindahkan lebih baik bukan sahaja lokasi tetapi soal cara bagaimana dapat lot. Sebelum ini diurus oleh persatuan. Lepas itu persatuan akan sewakan kepada ahli mereka.

“Ini kita tak nak lakukan kerana kita dapati boleh datangkan peluang ambil kesempatan. Misalnya persatuan dapat pada kadar yang murah dan kemudian dia sewa kepada peniaga dan penjaja pada kadar yang mahal.

“Kita buat secara talian dan diurus DBKL dan semua peniaga dan penjaja dapat kadar yang murah dan kalau dapati mereka sewakan lot mereka, ia akan diberi kepada orang lain,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata DBKL akan melaksanakan tempoh percubaan bagi kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) iaitu antara Jalan Isfahan dan Jalan Melayu akan ditutup kepada semua kenderaan persendirian pada Sabtu dan Ahad serta hari cuti umum.

Beliau berkata jalan ditutup dari 8 pagi hingga jam 12 tengah malam dan akan dilaksanakan bermula 1 April ini.

“Hanya bas, teksi, bomba, ambulans dan kenderaan polis serta kenderaan penguatkuasa dibenarkan.

“DBKL juga memastikan Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Lorong Gombak dikosongkan sepenuhnya dari penjaja dan halangan,” katanya.

Khalid juga berkata para penjaja yang sah akan dipindahkan ke kawasan lain di sekitar Jalan TAR selepas kiosk dibina untuk kegunaan mereka.

Ini dalam usaha untuk membersihkan Lorong TAR, maka pasar malam dan bazar Ramadan di situ akan dipindahkan ke lokasi baru yang akan diumumkan kemudian.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membuat keputusan ini khasnya Persatuan Peniaga Batu Road (Barra) dan Persatuan Peniaga Jalan Masjid India (Miba) serta para peniaga dan orang ramai yang memberikan maklum balas sehingga keputusan ini dibuat.

“Saya yakin keputusan ini akan memberikan kebaikan untuk semua serta memajukan lagi kawasan Jalan TAR sebagai mana majunya kawasan segi tiga emas di Bukit Bintang,” katanya. – FMT

Loading...