Bazar Ramadan Jalan Raja Lengang, Suram

KUALA LUMPUR – Lengang dan suram. Itu gambaran hari pertama operasi bazar Ramadan Jalan Raja semalam apabila kebanyakan peniaga masih belum membuka gerai jualan masing-masing manakala bilangan pengunjungnya pula boleh dihitung dengan jari.

Menurut beberapa peniaga, walaupun lokasinya bersebelahan bangunan bersejarah, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka namun banyak faktor lain menyebabkan bazar Ramadan itu gagal menarik perhatian ramai.

Peniaga tudung dan selendang, Tuan Abduh Tuan Junoh, 28, berkata, tempat letak kenderaan di tapak bazar Ramadan itu sangat terhad iaitu di bahagian bawah bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sahaja.

“Mesti pengunjung susah nak datang sini sebab pekerja DBKL pun meletakkan kenderaan mereka di situ, tambah pula dengan lori dan van para peniaga sendiri. Berbeza dengan tapak lama banyak tempat letak kenderaan, sebab itu ramai pengunjung menaiki kereta dan motosikal sendiri.

“Memang ada Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek dan Bandaraya antara yang terdekat tapi jadual perjalanan pengangkutan awam itu terhad hingga pukul 11 malam sahaja. Sudah tentu ia menyekat pengunjung untuk datang dan membeli di sini,” katanya yang mula berniaga di bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman sejak tahun 2015.

Sementara itu, Fatin Ayu Eleena Azlan, 21, memberitahu, sejak pukul 10 pagi hingga 5 petang dia menjaga gerai di bazar Ramadan itu, hasil jualan kurma dan biskut tradisionalnya masih belum mencecah RM100.

“Kalau di tapak lama, sekurang-kurangnya kami berjaya mengumpul hasil jualan pagi sahaja sebanyak RM500, kira sudah balik modal sewa tapak di sini.

“Berbeza di sini, ramai yang tanya tapi tak beli pun sebab rata-rata pelancong asing hanya minat ingin tahu sahaja dan tidak membeli sebab bukannya mereka yang nak sambut raya,” katanya.

Bagi peniaga pakaian kanak-kanak, Muhammad Saifuddin Abdul Rashid, 25, mereka terpaksa membungkus makanan dari luar atau rumah ekoran peraturan ditetapkan DBKL sebelum ini iaitu tidak membenarkan jualan juadah berbuka puasa di tapak bazar Ramadan tersebut.

“Satu kerja pula kawan saya kena pergi membeli juadah berbuka di Kampung Baru sebab di sini tiada langsung makanan berbuka puasa yang dijual. Maknanya, peniaga pun kena sedia sebuah motosikal juga untuk berniaga di sini.

“Secara tak langsung, jualan pun kurang sebab pengunjung akan mencari tempat hendak berbuka. Lain sangatlah situasi tahun ini dengan dulu, kita boleh berniaga dan layan pelanggan sambil berbuka sebab gerai juadah bersebelahan sahaja,” katanya.

3 April lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata, keputusan menempatkan peniaga bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India ke Jalan Raja selaras dengan penyusunan semula. – UTUSAN ONLINE