Bayi Perempuan Baru Lahir Ditemui Di Surau

BATU PAHAT – Jemaah surau di Kampung Parit Botak, Senggarang, di sini, gempar dengan penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di surau berkenaan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim berkata kehadiran bayi itu disedari oleh bilal yang terdengar suara tangisan ketika sampai ke surau awal pagi.

Beliau berkata selepas diperiksa bilal itu menemui satu bungkusan yang mengandungi seorang bayi yang dibalut dengan kain pelikat dan tuala, ditinggalkan di atas tangga di pintu masuk surau.

“Seterusnya bilal itu menghubungi Balai Polis Senggarang untuk memaklumkan kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata bayi itu dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan keadaannya stabil.

Beliau seterusnya memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi itu supaya menghubungi polis dengan menelefon 07- 4343999 bagi membantu siasatan. – BERNAMA